Sunday 10 June 2012

TERKINI : KENAIKAN PANGKAT DAN GELARAN BOLEH SERTAI


Tok guru hanya setaraf kedudukan Dewan Pemuda, Muslimat parti 

DEWAN Ulama dalam PAS sudah lama wujud tetapi dalam Perlembagaan parti itu ia hanya setaraf Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.Majlis Syura Ulama ditubuhkan ketika PAS di bawah kepemimpinan Yusof Rawa dan ditempatkan dalam Bab Ketiga Perlembagaan PAS, manakala tiga dewan lain iaitu Pemuda, Ulama dan Muslimat ditempatkan dalam Bab 10.

Perlembagaan PAS memberikan takrif ulama ialah mereka yang dipanggil ‘tuan guru’ atau siswazah lulusan bidang pengajian Islam daripada mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) atau mana-mana orang yang berlatar belakangkan pengajian Islam yang menjadi ahli PAS.
Pindaan Perlembagaan PAS pada 2001 lebih ringkas iaitu ahli bagi Dewan Ulama ialah tuan guru atau/dan siswazah daripada mana-mana IPT Islam dan menjadi ahli PAS. 
Berdasarkan definisi ulama dalam Perlembagaan PAS ini, maka Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat layak menjadi ahli Dewan Ulama PAS kerana mereka berdua dipanggil tuan guru atau tok guru. 
Demikianlah juga ‘tuan guru’ yang lain, tanpa mengira sama ada mereka lulus atau tidak dalam bidang pengajian Islam di IPT Islam (IPTI). Kelayakan ‘tuan guru’ ini diperlukan oleh PAS kerana pada peringkat awal PAS disokong oleh guru pondok dan mereka itu dipanggil tuan guru atau tok guru. 
Berdasarkan definisi ulama dalam Perlembagaan PAS, ia tidak mengkategorikan lulusan diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam. 
Justeru, definisi ulama bagi PAS amat mudah – sesiapa saja yang dipanggil ‘tok guru’ dianggap layak untuk menjadi ahli Dewan Ulama PAS (DUP), asalkan mereka menjadi ahli PAS. 
Kalau dibandingkan definisi ulama yang berada dalam DUP dan ulama yang berada dalam Majlis Syura Ulama (MSU), maka ulama dalam MSU lebih tinggi martabat atau hierarkinya kerana ulama dalam MSU mestilah: 

Mengetahui masalah pokok dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya. 

Dapat merujuk masalah pokok itu kepada Quran, sunnah, ijmak dan qias dengan faham maksud dan maknanya yang muktabar. 

Hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya. 

Hendaklah menjadi ahli PAS. 
Meneliti syarat adil ini, maka timbul isu senarai dosa besar dan kecil yang disenaraikan PAS kepada ulama dalam MSU. PAS perlu menyenaraikan dosa besar dan kecil untuk ulama dalam MSU kerana ulama Islam tidak ada kata sepakat dalam menentukan jumlah dosa besar dan dosa kecil. 
Malah, ada pendapat menyatakan bohong adalah satu dosa yang membawa kepada munafik kalau didasarkan kepada hadis yang menyatakan tanda atau alamat munafik ada tiga iaitu – apabila bercakap berbohong, apabila diserahkan amanah dikhianati dan apabila bergaduh sampai tahap fujur (fasik). 
Orang PAS ‘bergaduh’ dengan orang UMNO sejak dulu hingga kini masih belum berbaik, kecuali beberapa tahun ketika PAS berada dalam Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selepas 13 Mei 1969. 
Apakah pergaduhan PAS dan UMNO ini tidak termasuk dalam pergaduhan fujur? 
Kalau diambil pendapat tokoh yang menyatakan ‘politicians are liars’ (ahli politik adalah pembohong), apakah ulama dalam MSU tidak berbohong dalam hidupan seharian mereka? 
Pernahkah ulama dalam MSU diambil tindakan kerana dituduh melakukan satu dosa besar atau kerana dituduh berterusan melakukan dosa kecil? 
Dalam sejarah umat Islam pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib, baginda dituduh melakukan dosa besar oleh puak Khawarij dan dijatuhkan hukuman bunuh. Beliau dibunuh kaum Khawarij yang menanti baginda keluar dari masjid selepas bersolat Subuh. 
Dalam isu permusuhan antara kaum Khawarij dan Khalifah Ali, kumpulan Muslim tidak menghukum Khalifah Ali sebagai pelaku dosa besar, apa lagi sebagai kafir yang mesti dibunuh. 
Dalam konteks ahli politik PAS yang menjadi ulama MSU, apakah mereka yakin bahawa mereka sendiri tidak pernah melakukan dosa besar atau tidak melakukan dosa kecil berterusan untuk melayakkan masing-masing terus berada dalam MSU? 
Pada 1979, pernah seorang ‘tok guru’ sebuah sekolah pondok di Kelantan yang fanatik dengan PAS mengeluarkan hukum haram memakan daging sembelihan orang UMNO kerana UMNO berbaik dengan orang kafir. Tok guru berkenaan dalam ceramahnya juga pernah mengeluarkan beberapa hukum lain seperti tidak sah perkahwinan yang dilakukan jurunikah UMNO dan tidak sah berimamkan imam yang dilantik Kerajaan UMNO. 
Akibatnya, wujud fenomena dua imam di kawasan tertentu di Kelantan dan Terengganu. ‘Tok guru’ berkenaan didakwa di mahkamah di Besut dan kesnya masih belum diputuskan dan ‘tok guru’ itu juga sudah meninggal dunia. 
Oleh itu PAS perlu menyenaraikan senarai dosa besar dan dosa kecil semua ulama dalam MSU. Mahu atau mampukah PAS berbuat demikian? 
Ini adalah antara beberapa isu yang termasuk dalam polemik, etos dan mitos kepemimpinan ulama dalam PAS dari dulu hingga kini. PAA perlu mengakui hakikat zaman sudah berubah, ia kini sekadar sebuah parti politik – fatwa yang pernah ‘mengkafirkan’ UMNO suatu masa dulu, kini memakan diri sendiri. 

Penulis ialah Prof Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment