Thursday, 11 July 2013

Senjata Api Dan Peluru Dalam MPV @PDRMsia Dilarikan Suspek Curi Ditemui.



Semua barangan dan kelengkapan termasuk senjata api MP5 dan peluru dalam kereta peronda polis jenis MPV yang dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di Perak pagi semalam ditemui semula di Bukit Minyak di sini Rabu malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata polis percaya suspek curi berusia 32 tahun itu tidak mengambil barangan dalam MPV berkenaan kerana hendak cepat melarikan diri.

Katanya MPV itu ditemui di lorong belakang rumah kedai di Taman Sri Mangga di sini hasil maklumat orang awam yang curiga dengan kehadiran MPV itu lebih 10 jam tanpa kehadiran anggota peronda polis.

Pemeriksaan mendapati semua barangan dan kelengkapan dalam MPV itu termasuk senjata api dan peluru masih berada di dalam kenderaan berkenaan, katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Mazlan berkata polis turut menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek yang berasal Tasek Gelugor.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof dilaporkan berkata dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi semalam, ketika hendak dibawa masuk ke dalam MPV berkenaan, lelaki itu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes curi telah menolak anggota polis yang bertugas sebelum melarikan MPV itu.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment