Friday 24 May 2013

Parti politik disaran banyak guna media sosial. #GE13 #PRU13 #BetterNation #NajibMyPM

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik disarankan menggunakan media sosial sebagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat kerana ia dilihat sudah mengambil alih perananan media arus perdana.

Pengarah Institut Kajian Oksidental (IKON) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rashila Ramli berkata media sosial dijangka akan menjadi medium utama pengundi-pengundi yang berusia bawah 40 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Media sosial dan internet mula digunakan sejak 1999 lagi teruatama oleh parti-parti pembangkang yang disekat untuk menyebarkan maklumat kepada pengundi tetapi sekarang ia semakin meluas dan digunakan oleh semua parti termasuk Barisan Nasional.

"Twitter, Youtube, facebook dan banyak lagi media sosial kini bukan lagi media alternatif tetapi sudah menjadi media arus perdana terutama kepada pengundi dibawah umur 40 tahun, jadi semua parti politik disarankan supaya lebih banyak menggunakan media sosial untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi," katanya selepas menjadi ahli panel Forum Pasca PRU13: Meneliti hasil dan meneroka ke hadapan di Bilik Senat, UKM Bangi pagi tadi.

Katanya sudah empat pilihan raya umum sejak 1999 dan banyak pilihan raya kecil, penggunaan media sosial semakin diterima dan parti-parti politik tidak boleh menolak bahawa tidak kira dimana kawasan sekalipun selepas ini ia akan menjadi semakin penting.

Sementara itu mengulas peranan golongan wanita dalam politik negara, DR Rashila mencadangkan agar kouta sementara diwujudkan bagi membolehkan penyertaan lebih ramai golongan wanita sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjelaskan kehadiran wakil rakyat wanita di Dewan Rakyat tidak bertambah dan jumlah calon yang bertanding juga tidak menunjukkan peningkatan pada PRU-13.

"Kalau kita lihat jumlah calon wanita yang bertanding pada PRU-13 tidak sangat menunjukkan peningkatan biarpun lebih banyak berbanding 2004.

"Perlu ada usaha untuk meningkatkan jumlah calon wanita dalam pilihan raya akan datang seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh meletakkan syarat supaya semua parti politik perlu meletakkan berapa peratus calon wanita untuk bertanding," katanya.

Beliau juga menyifatkan golongan wanita pada PRU-13 lebih banyak diberi peranana sebagai pekerja parti dan peraih undi berbanding sebagai pembuat keputusan.

Dr Rashila juga mencadangkan supaya 'politik kehadiran' ditekankan oleh kepada golongan wanita supaya penyertaan golongan tersebut lebih disedari.

"Politik Kehadiran ini bermaksud penyertaan golongan wanita dalam parti itu lebih kepada memainkan peranan utama bukannya menyertai sekadar memenuhkan dewan.

"Jika mereka lebih memainkan peranan, kehadiran mereka lebih dirasai dan lebih berpeluang untuk mempamerkan bakat kepimpinan yang ada," katanya lagi.

Beliau berharap parti-parti politik lebih memberikan peranan utama kepada golongan wanita menjelang PRU-14 akan datang.

http://www.astroawani.com/

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment