APABILA Datuk Seri Najib Razak melangkah ke rostrum untuk berucap pada majlis sambutan ulang tahun UMNO malam ini, beliau mempunyai satu peluang yang besar untuk menunjukkan kebesaran jiwa dan wataknya sebagai pemimpin sebuah parti yang kini berdepan dengan realiti baru politik negara.
Inilah masa yang terbaik untuk beliau memberikan isyarat kepada UMNO tentang hala tuju parti itu sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang.Isyarat itu mungkin sudah beliau berikan dalam setiap perhimpunan agung tahunan parti selepas mengambil alih teraju kepimpinan UMNO daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.Tetapi perhimpunan malam ini yang kebetulan diadakan genap seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tentulah diperhatikan oleh banyak pihak terutamanya selepas rakyat memberikan petunjuk yang jelas melalui undi mereka pada Ahad lalu.
UMNO tidak kalah dalam PRU-13 dan kekal sebagai tunjang Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat. UMNO yang bertanding 120 kerusi Dewan Rakyat mewakili BN menang 88 kerusi. Ini adalah satu peningkatan yang agak baik iaitu pertambahan sebanyak 9 kerusi berbanding pilihan raya umum pada 2008. Ketika itu, ia bertanding 117 kerusi.
Bagi pilihan Dewan Undangan Negeri pula, UMNO menang 242 daripada 339 kerusi yang ia ikut bertanding. Pada 2008, ia bertanding 338 kerusi dan menang 239.
Pencapaian UMNO yang terbaik ialah di Kedah. Ia menang 19 daripada 28 kerusi di DUN negeri itu dan bersama MCA yang menang 2 kerusi berjaya mengambil semula Kedah daripada Pakatan Rakyat. Sebagai perbandingan, pada 2008, UMNO hanya menang 12 daripada 28 kerusi DUN yang ditandinginya di negeri itu. Ia juga menang 10 daripada 13 kerusi Parlimen yang ditandinginya di Kedah dalam PRU-13 itu.
Tetapi sekiranya kita meneliti keputusan PRU-13 itu dengan lebih mendalam, kita akan melihat bahawa sebenarnya UMNO tidak juga menang sepenuhnya. Orang Melayu terutamanya di bandar dan di pinggir bandar menolak UMNO atau tidak memilih calon yang mewakili BN -- sekaligus bermakna mereka menolak UMNO sebagai parti yang menunjangi perikatan itu.
Malah bukan sedikit kawasan yang menunjukkan bagaimana ada orang Melayu yang memilih DAP. Kelompok pengundi ini telah membebaskan diri mereka daripada belenggu propaganda bahawa DAP adalah sebuah parti eksklusif orang Cina dan menerima bahawa ia merupakan sebahagian daripada pakatan yang boleh membela kepentingan orang Melayu.
Apakah sebabnya kelompok pengundi di bandar dan di luar bandar itu meninggalkan UMNO?
Inilah yang harus difahami dan didalami oleh barisan kepimpinan UMNO — bahawa pola pengundian dalam PRU-13 menunjukkan betapa orang Melayu kini merasakan bahawa mereka ada parti lain yang boleh diangkat untuk mewakili suara mereka.
Sokongan orang Melayu di negeri-negeri yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat UMNO dan benteng orang Melayu seperti Perlis, Terengganu dan Pahang mula beralih kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat juga menembusi Johor yang merupakan negeri kelahiran UMNO.
Malah kalau kita perhalusi secara khusus keputusan di beberapa kerusi yang mempunyai majoriti pengundi orang Melayu, kita akan nampak bagaimana peratusan undi kepada Pakatan Rakyat meningkat. Antara kerusi itu termasuklah Kangar, Paya Besar, Lenggong, Kepala Batas dan Pontian, dan ada banyak lagi kerusi seperti itu yang majoriti pengundi Melayu adalah antara sekitar 55 hingga 81 peratus.
Maka, adalah terlalu simplistik — dan salah sebenarnya — sekiranya kita mengatakan bahawa apa yang berlaku pada 5 Mei lalu adalah tindakan pengundi Cina semata-mata meninggalkan BN. Hakikatnya, ia adalah penghijrahan bukan saja orang Cina malah orang Melayu juga memilih Pakatan Rakyat.
Apa yang belum lagi berlaku adalah penghijrahan orang Melayu meninggalkan UMNO seperti mana yang dilakukan oleh orang Cina terhadap MCA. Keadaan itu tidak mustahil boleh berlaku dalam pilihan raya umum yang akan datang sekiranya UMNO sebagai parti tunjang BN tidak menggerakkan perubahan yang menyeluruh untuk membentuk satu keyakinan baru terhadapnya.
Keadaan itu meletakkan Najib sebagai seorang pemimpin yang menerajui UMNO pada sebuah zaman yang cukup sukar. Sekiranya tempoh lima tahun selepas pilihan raya umum 2008 adalah zaman yang sudah begitu sukar, tempoh lima tahun akan datang ini lebih sulit lagi. Mahu tidak mahu, UMNO mesti berubah sekiranya ia mahu terus kekal relevan kepada orang Melayu — tidak ada kata dua.
Tetapi untuk melakukan perubahan itu, ahli-ahli UMNO tidak harus diberikan gambaran yang salah bahawa pengundi tidak memilih UMNO dan BN kerana orang Cina tidak mengenang budi atau orang Melayu tidak sedarkan diri. Adalah sangat tidak wajar untuk menyalahkan pengundi semata-mata tetapi tidak sedikit pun cuba untuk melihat ke dalam diri dan mencari apa silap sendiri.
Dalam konteks itulah, ucapan Najib pada malam ini dilihat cukup penting untuk kita perhatikan.
Sumber : AstroAwani
No comments:
Post a Comment