Tuesday, 4 December 2012

Amaran !!! Kalau Farid Cakar Diana, Mama Cakar Dia Pulak!

Gambar hiasan


KUALA LUMPUR, 3 DIS 2012: Siapa tidak mengenali wanita yang mesra disapa 'Mama' ini. Semenjak di awal permulaan karier gadis berdarah kacukan, Diana Danielle ke dalam dunia hiburan dan lakonan, Norsiah Ramli selaku ibu dan pengurusnya tidak pernah berenggang dengan anak perempuan tunggalnya itu.

Dikenali dengan personaliti yang sempoi, Mama banyak berseloroh ketika diminta mengulas tentang perasaannya kini setelah menerima menantu. Tetapi ketika menyampaikan pesanan kepada pasangan pengantin tersebut, dia lebih serius. Dia ditemui media sebaik sahaja berakhirnya majlis resepsi Diana Danielle dan Farid di Putrajaya pada malam Sabtu lepas.

"Sebenarnya Mama masih belum bersedia sepenuhnya untuk melepaskan Diana kerana Mama rasa Mama belum habis menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Maksudnya, banyak lagi perkara yang belum cukup sempurna terutama sekali mendalami ilmu-ilmu agama dan hal-hal penting lain.

"Mama mengharapkan Farid dapat membahagiakan Diana dan menjaganya seperti mana Mama menjaganya dulu. Diana seorang anak yang baik dan mendengar kata. Tanggungjawab kini terletak kepada Farid untuk membimbing Diana menjadi insan yang lebih baik.

"Jodoh adalah ketentuan Allah, Mama redha melepaskan Diana tetapi perasaan sayu dan hiba ada juga datang bila mengenangkan anak Mama itu sudah pun menjadi milik orang. Diana pula memang manja, sampai dah besar pun kami masih tidur bersama.
"Walaupun begitu Mama tetap menjadi pengurus kepada Diana jadi kami akan sering bertemu. Apa yang Mama minta supaya Farid dapat buat yang terbaik untuk Diana. Kalau dia cakar anak Mama, siaplah, Mama cakar dia!,"seloroh Norsiah atau Mama kepada rakan media sebagai pesanan buat menantunya itu.

Bercakap mengenai konsep majlis resepsi di Taman Ekuestrian Putrajaya itu, Mama menjelaskan bahawa ia memang menjadi pilihan Diana. Menurut Mama, kalau dulu impian sebenar Diana adalah untuk mengadakan majlis perkahwinan di pulau.

"Dulu dia pernah cakap nak buat majlis perkahwinan di pulau. Diana memang sukakan majlis yang dibuat secara outdoor dan berkonsepkan garden wedding. Tetapi majlis ini adalah untuk meraikan saudara dan kenalan terapat. Kedua-dua elemen timur dan barat itu digabungkan dalam resepsi ini. Ada kereta kuda, makanan barat dan Melayu serta ia lebih santai.

"Semua jemputan pun senang nak datang. Boleh dikatakan majlis resepsi ini tetap dapat memenuhi keinginan dan impian Diana pada hari bahagianya bersama Farid Kamil,"ujarnya mengenai resepsi pertama pasangan itu.

No comments:

Post a Comment