Stadium Darul Aman. |
Hanya 4 stadium dibenar anjur perlawanan waktu malam.
HANYA empat stadium setakat ini mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan permainan pada waktu malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, empat stadium itu ialah Stadium Shah Alam di Selangor; Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang; Stadium Jalan Besar di Singapura dan Stadium Negeri Sarawak di Kuching.
Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama anggota majlis JKPT bagi membincangkan perkara berkaitan stadium dengan lebih lanjut hujung minggu ini.
"Saya difahamkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban dan Stadium Perak di Ipoh sedang menjalankan kerja penambahbaikan
fasiliti...(kemungkinan besar) mereka akan bermain pada waktu petang.
"(Bagaimanapun) kita akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa di mana-mana stadium (yang terlibat dengan saingan Liga Malaysia 2013) bagi memastikan pasukan yang berhasrat untuk beraksi pada waktu malam mematuhi peraturan yang kita tetapkan," kata Hamidin ketika dihubungi Bernama.
Hamidin turut memberi jaminan persiapan pasukan kelab dan negeri yang bersaing dalam Liga Malaysia 2013 tidak akan terjejas walaupun skuad kebangsaan yang dibimbing oleh Datuk K.Rajagobal dijadualkan terlibat dengan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan.
"Kalendar Liga Malaysia 2013 sudah (hampir) siap dan kita yakin persiapan pasukan kelab dan negeri tidak akan terganggu," katanya.
Liga Malaysia 2013 akan membuka tirai secara rasmi pada 5 Januari depan menerusi perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Piala Malaysia, Kelantan menentang juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia di venue yang masih belum ditetapkan FAM.
Aksi Liga Perdana dan Liga Super 2013 masing-masing akan bermula pada 7 dan 8 Januari.
Piala FA 2013 melibatkan 30 pasukan dari Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM akan bermula 25 Januari depan. - Bernama
No comments:
Post a Comment