PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk menutup dua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mulai Jumaat yang dipasang di negeri itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hasan berkata, agensi itu tidak akan campur tangan tetapi ia bergantung kepada penyedia perkhidmatan AES terhadap keputusan kerajaan negeri.
"Ini kerana kamera AES perlu beroperasi selama 24 jam sehari. Dan penyedia perkhidmatan perlu memastikan ia (kamera) terus beroperasi.
"Kita (JPJ) tidak akan mengambil sebarang tindakan. Jika mereka (kerajaan negeri) mahu menutupnya dengan kain, penyedia perkhidmatan bagi AES akan menanggalkannya," katanya di sini, Khamis.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Khamis berkata, kerajaan negeri tidak akan menanggalkan dua kamera AES tetapi menutupnya dengan kain merah.
"Kita akan cuba (tutup) dengan kain merah dahulu. Kita mahu lihat siapa yang berani tanggalkannya," kata Abdul Khalid.
Menteri Besar Selangor sebelum ini berkata, keputusan menutup dua kamera AES itu dibuat selepas Kementerian Pengangkutan tidak memberi maklum balas terhadap surat dihantar pihak berkuasa tempatan menuntut kementerian itu mematuhi prosedur pemasangannya.
Terdahulu, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu berkata, kamera yang mengesan kesalahan lalu lintas pengguna jalan raya itu yang dipasang di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan akan ditanggalkan pada Jumaat.
Mengulas mengenai kenyataan Liu, Solah berkata, ia disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak bermoral sekiranya kamera AES ditanggalkan._mstar
No comments:
Post a Comment