Serius, ia bukan sahaja jijik, tetapi juga
sensitif daripada sudut agama. Kalau benar sekalipun untuk bertanding, apakah
memakan bangkai binatang itu sesuatu yang boleh dihalalkan? Itu pertanyaan
banyak pihak hasil penelitian Hits sejak beberapa hari lalu. Justeru, adegan
memakan bangkai kambing dalam pertandingan akhir Fear Factor Malaysia musim
kedua yang melabuhkan tirainya Ahad lalu mendapat kritikan hebat daripada
masyarakat Malaysia.
Mereka yang menonton aksi berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati
di laman-laman sosial. Ini termasuklah mendakwa Erin dan pasangannya langsung
tidak prihatin semata-mata kerana mahu menang dan mendapatkan wang yang banyak.
Juara tanpa sensitiviti, itu kata mereka terhadap pasangan muda itu.
Selain itu, pihak pengurusan Fear Factor juga dikaitkan sebagai
tidak prihatin tentang isu berkenaan. Sensitiviti penonton tidak dipedulikan
oleh team penerbitan. Sikap semberono ini 'menghalalkan' apa sahaja dan
akhirnya adegan itu terhasil di kaca TV kita atas nama pertandingan.
Pemenang dalam program tersebut iaitu Erin Malek pula
mempertahankan tindakannya. Kenapa pula? Apakah kerana mahu muncul sebagai
pemenang, maka Erin juga terpaksa 'mengikut' sahaja apa yang diarahkan oleh
penganjur, meskipun tahu ia menjijikkan sama sekali? Kepada Hits, Erin
memperbetulkan kenyataan semua orang terutama bagi membersihkan nama semua
peserta yang terlibat.
HITS: Bangkai kambing dimakan begitu sahaja, biar betul ni?
ERIN: Saya ingin jelaskan, itu bukan bangkai kambing sebenarnya.
Itu hanyalah daging kambing biasa dan bukannya bangkai. Cuma daging kambing itu
separuh masak. Mereka (pihak pengurusan) mempunyai cara yang tersendiri untuk
membuatkan daging kambing itu berbau busuk dan kelihatan kotor. Janganlah salah
faham.
Awak tahu kan, manusia yang waras tidak boleh memakan bangkai?
Tahu, memang saya tahu. Tapi itu bukan bangkai sebab itu kami
masih boleh makan. Kalau itu memang bangkai, kita pun tahu sama ada ia halal atau
haram untuk dimakan. Tetapi saya tidak nafi, itu adalah antara cabaran yang
betul-betul menguji saya dari segi mental dan fizikal. Sepanjang program itu
berlangsung, pasangan saya, Redha banyak sangat menolong. Kerjasama saya dengan
dia sebagai sebuah kumpulan memang sangat kuat sehingga kami berjaya
menghabiskan daging kambing yang agak berbau itu.
Selepas makan daging kambing busuk, anda menang RM200,000, puas
hati?
Puas hati sangat-sangat. Ini atas segala usaha bersungguh-sungguh
kami. Duit yang saya menang bersama Redha ini adalah satu bonus buat kami.
Sudah tentu saya dan Redha membahagikan sama rata duit tersebut. Saya akan
simpan duit ini untuk diri sendiri. Ibu pun sudah berpesan agar simpan buat
bekalan diri dan guna untuk perkara berfaedah.
Duit banyak di tangan, pasti akan ada surat-surat untuk minta
derma atau bantuan selepas ini. Apa kata Erin?
Ia ke ni? Rasanya tidak perlu bila sudah nampak saya ada duit
banyak itu, baru hendak meminta. Menderma adalah perkara normal bagi saya.
Lagipun, sebelum ini, saya memang selalu melakukan kerja amal kebajikan. Kalau
ada rezeki lebih, saya memang akan beri bantuan.
Ada yang mengatakan awak dan Redha sesuai jadi pasangan. Ada
perancangan untuk berkahwin dengan dia?
Tak baik tau. Redha tu tunangan orang. Dia tak buat masalah pun.
Sepanjang sebulan di Cape Town memang saya bersama dia dan ramai yang nampak
keserasian kami. Dia (Redha) kerja keras untuk kumpulan kami. Alhamdulillah,
dia pasangan yang sesuai untuk bekerja. Lagipun, tunang dia tak ada masalah dan
faham kami bekerja sebagai kumpulan. Semasa episod akhir, tunang dia datang
mengucapkan 'terima kasih'. Saya tanya, untuk apa? Tunang Redha kata, terima
kasih kerana memilih Redha memandangkan dia yang mendaftarkan Redha masuk Fear
Factor.
Lari sedikit cerita Fear Factor, dengarnya sekarang sudah ada
kekasih baharu, betul?
(Gelak). Ya, memang ada. Saya sudah kenal dia (kekasih) sejak
empat bulan lalu. Kami bertemu di laman sosial Instagram selepas setahun
memutuskan hubungan dengan bekas kekasih saya.
Siapa jejaka bertuah itu?
Saya hanya boleh beritahu nama dia F. Dia berusia 30 tahun. Dia
seorang yang matang, romantik dan penyayang. Saya tertarik dengan kematangannya
sebagai seorang lelaki dan paling penting dia tidak menghakimi tentang apa juga
gosip dan cerita kurang enak mengenai saya sebelum ini.
Sudah bersedia berkahwin lah ni?
Pada tahap ini saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan soal
umur bukan satu masalah kerana paling penting kita bertemu dengan orang yang
tepat dan sesuai. Berdasarkan pengalaman lalu saya sudah malas untuk bercinta
lama-lama kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana dan 'F' adalah cinta hati
yang melengkapi diri saya sebagai seorang wanita. Tetapi bukan bererti saya
akan berkahwin dalam masa terdekat ini.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment