Fathul Bari Mat Jahaya

Fathul Bari Mat Jahaya
KUALA LUMPUR - Cetek pengetahuan dalam ilmu agama; terikut-ikut dengan ajaran sesat dan terlalu ingin menjadi manusia hebat dengan kebolehan luar biasa mendorong seseorang itu menjadi imam 'Mahadi' palsu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai dirinya Imam Mahadi kerana terdapat ciri dan sifat tertentu membezakan Imam Mahadi dengan manusia biasa.

"Antara sifat Imam Mahadi digambarkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Abu Daud ialah beliau bangkit memimpin dan menjadi imam kepada seluruh umat manusia," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian amuk seorang lelaki dikatakan mengaku imam Mahadi di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Isnin lepas.

Lelaki berusia 47 tahun itu meninggal dunia di hospital selepas terkena tembakan pada tangan dan bahagian ari-ari, yang dilepaskan polis bagi mempertahankan diri daripada serangan lelaki terbabit. Seorang wanita 28 tahun pengikut lelaki itu juga terkena tembakan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya.

Fathul Bari berkata Imam Mahadi tidak bangkit secara mengaku "akulah Imam Mahadi yang ditunggu-tunggu" sebalik ciri-ciri dan sifatnya diketahui sendiri orang ramai menerusi kepimpinannya membawa dan mengisi keadilan kepada seluruh dunia.

Ditanya mengapa sejak akhir-akhir ini banyak individu dikultuskan sebagai imam 'Mahadi', Fathul Bari berkata tindakan itu merupakan modus operandi kelompok yang tersasar daripada akidah Islam yang sebenar.

"Pertama sekali mereka ingin diikuti dan dijadikan sebagai ikutan, mereka akan membina kultus mereka sendiri, dia akan tanam bukti-bukti dan ciri-ciri sebagai Imam Mahadi seperti yang berlaku dalam beberapa ajaran sesat.

"Bila mereka mula ke tahap melampau mereka akan mengangkat diri mereka dan mensucikan diri mereka sampai ke tahap apa yang mereka kata mesti benar dan tepat, apa yang mereka kata tak boleh dikritik dan tak boleh disanggah, sehinggakan pengikut mereka kena terima bulat-bulat," katanya.

Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Salleh Ahmad berkata salah satu cara membendung kejadian seperti itu ialah memberi pendidikan ilmu akidah berterusan kepada umat Islam sejak kecil.

"Perkara ini berpunca dari kejahilan mereka dan ada yang cuba untuk berlagak jadi orang hebat dengan mengaku bahawa dia Imam Mahadi.

"Pihak berkuasa harus mempergiatkan gerakan dakwah bagi memastikan perkara ini tidak berulang," katanya. - Bernama