FGV tumpu usaha perluas perniagaan huluan

Felda
SHAH ALAM - Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyifatkan langkah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membeli saham Felda Global Ventures Holding (FGVH)  sebagai sesuatu yang malang dan mahu ia meminta maaf.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, tindakan PKNK itu juga telah mengguris hati banyak pihak yang menentang dan sehingga kini berjuang untuk membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
Kata beliau, PKNK sepatutnya mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kedah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli saham FGVH.
"Kesalahan itu dianggap serius dan telah mengguris perasaan pejuang untuk selamatkan Felda. Ia juga tindakan yang memalukan Pakatan Rakyat dan sekali gus bercanggah dengan perjuangan kami," katanya kepada Sinar Harian Online.
Anak bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai Gabungan Selamatkan Felda (GSF) telah mengadakan Himpunan Oren Selamatkan Felda, Sabtu lalu bagi menghantar memorandum kepada Istana Negara bagi mendesak membatalkan penyenaraian FGVH.
Awal minggu ini, Sinar Harian membawa laporan bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah mengarahkan PKNK menjual saham milik perbadanan itu dalam FGVH, yang dibeli tanpa pengetahuan beliau sehingga menimbulkan isu seolah-olah pendirian Kerajaan Negeri berhubung penyenaraian syarikat Felda itu di bursa saham bertentangan dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi meredakan salah faham dalam kalangan penyokong pembangkang seolah-olah Kerajaan Kedah tidak sensitif dengan isu berkenaan.

Menurut Muhammad Sanusi, pendirian Azizan dalam isu berkenaan adalah selari dengan kepimpinan Pas yang lain iaitu menentang penyenaraian syarikat Felda di bursa saham.

"Ini terbukti apabila beliau menolak cadangan Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang juga mahu membeli saham FGVH," katanya.

Menteri Besar adalah pengerusi dalam kedua-dua syarikat milik kerajaan negeri itu.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyalahkan pengurusan PKNK ataupun menjadikan pihak berkenaan sebagai 'kambing hitam'.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, PKNK perlu memohon maaf kepada GSF yang sedang bertungkus lumus dengan menggunakan pelbagai cara bagi menyelamatkan serta menjamin tanah terus menjadi hak milik orang Melayu pada masa akan datang.

"Mereka (PKNK) perlu mohon maaf kepada kami. Mereka perlu titik beratkan soal perasaan setiap penyokong dan pejuang Pakatan Rakyat bukan fikirkan soal keuntungan semata-mata.

"Ini soal perasaan bukan soal pelaburan untung rugi sahaja," katanya lagi.

SINAR.