Saturday 25 August 2012

Awasi Anak Mandi Di Kolam Renang

PETALING JAYA: Membawa anak anda mandi di kolam renang mahupun pantai pastinya menjadi aktiviti cuti persekolahan yang menyeronokkan namun ibu bapa yang tidak mengawasi anak mereka walaupun hanya saat mampu mengundang maut, itulah antara ingatan yang diberikan jurulatih renang.

Brian Yap daripada 'D Swim Academy' berkata jumlah kes lemas yang dicatatkan pada musim cuti sekolah mencatatkan peningkatan kerana kecenderungan ibu bapa membawa anak kecil mereka mandi manda di kawasan air terjun, pantai mahupun mandi di kolam renang di hotel.

"Jika anak kecil sedang bermain dalam air, pastikan ada orang dewasa yang mengawasinya dan dia tidak terlepas pandang tentang apa yang dilakukan oleh kanak-kanak tersebut.

"Pastikan orang dewasa itu duduk berdekatan. Jangan sesekali membiarkan anak kecil bermain dalam air tanpa penyeliaan," kata jurulatih renang yang turut mengendalikan kursus keselamtan.

Yap turut menggesa ibu bapa agar menghantar anak mereka belajar berenang.

"Jumlah rakyat Malaysia yang boleh berenang sangat rendah. Sekiranya berlaku kecemasan, seseorang yang boleh berenang juga akan mudah panik dan lemas, ini sangat serius sekiranya dibandingkan dengan seseorang yang tidak pernah mempelajari teknik berenang," katanya.

Bagaimanapun, katanya ibu bapa tidak boleh mengambil mudah dengan beranggapan seorang kanak-kanak yang mempunyai teknik renangan yang bagus benar-benar selamat daripada mati lemas.

"Saya telah mendengar banyak insiden melibatkan kanak-kanak tergelincir dalam air atau lemas apabila ibu bapa tidak mengawasi anak mereka untuk seketika, ini termasuk juga mereka yang telah menyertai kelas renang.

"Jika terdapat anggota penyelamat atau mereka yang cekap untuk menyelamatkan, mereka akan bernasib baik. Namun dalam kebanyakan kes, bila seseorang menyedari anak mereka sedang tenggelam ia sudah pun terlambat," katanya yang menggesa ibu bapa membawa anak mereka mandi di tempat yang terdapat anggota penyelamat.

Sementara itu, jurulatih renang dan pengasas bersama 'Canyon Aquatics' Cindy Ong berkata ibu bapa tidak boleh menganggap alat pengapungan sahaja sudah cukup untuk membolehkan anak mereka selamat di dalam air.

"Jangan sesekali membenarkan kanak-kanak menyelam dalam air cetek, mencelup atau menolak satu sama lain dalam air itu," katanya.

Katanya, antara langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berlakunya kecemasan adalah SLICK Shout, mendapatkan pertolongan daripada anggota penyelemat, mengenalpasti barang-barang yang boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa seperti (tali, pelampung, dahan atau tuala), persediaan melakukan pernafasan mulut ke mulut (CPR) sekiranya diperlukan serta menenangkan mangsa.

Ong berkata mereka yang tidak asas latihan menyelamat tidak harus terjun dalam air kerana ia akan turut mengundang bahaya kepada mereka.

Juara terrjun negara, Pandelela Rinong pula menggesa ibu bapa menghantar anak mereka menyertai kelas renang kerana ia mampu menyelamatkan nyawa mereka.

"Ketika saya berumur 10 tahun, saya terjatuh dalam parit yang dipenuhi air.

"Disebabkan saya pandai berenang saya tidak panik dan dapat keluar daripada parit itu dalam keadaan selamat," katanya.
Mstar online
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment