Saturday, 25 August 2012

Abdullah puji kepimpinan Najib

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini memuji kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan pelaksanaan pelbagai program transformasi bagi membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, pelbagai program transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Politik yang diusahakan adalah bukti komitmen Perdana Menteri bagi membangunkan negara.  "Najib komited dan bekerja keras. Rakyat telah melihat dan mendengar pembaharuan dan dasar transformasinya untuk negara yang memberi manfaat kepada rakyat. Ini adalah amat baik," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka beliau di Dewan Sri Endon, Presint 10 di sini, hari ini. 
Abdullah diiringi isterinya, Tun Jeanne Abdullah. Turut hadir pada majlis itu ialah Najib, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, interpretasi rakyat dan "apa yang ada dalam dalam hati mereka" adalah sesuatu yang tidak dapat diramalkan dalam politik dan pilihan raya dan oleh itu Najib perlu meneruskan usahanya dan berkhidmat kepada mereka dengan penuh dedikasi.

"Kita harap rakyat akan suka kepada Najib. Bagaimanapun, kita tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka (Rakyat) memandangkan apa yang saya telah lalui sebelum ini.

"Mereka (rakyat) boleh melihat dan mendengar (dasar dan inisiatif) bagaimanapun apa interpretasi mereka itu adalah sesuatu yang kita tidak tahu dan kita perlu bekerja kuat agar mereka melihat, mendengar dan akan suka kepada kita," katanya.
Sementara itu, Abdullah meminta rakyat mengambil perhatian terhadap kenyataan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang melabel ketua menteri Lim Guan Eng sebagai sombong dan angkuh.

Sementara itu, semasa ditanya siapa yang akan bertanding kerusi Parlimen Kepala Batas, Abdullah berkata, perkara itu terserah kepada Perdana Menteri. - BERNAMA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment