Wednesday 29 August 2012

#Merdeka55 : Generasi pasca merdeka perlu kesedaran tinggi cintakan negara.


 OGOS sekali lagi datang menjenguk kita yang sekali gus menandakan kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-53 pada tahun ini. Tahun ini juga sekali lagi kita akan menyambut tarikh keramat 31 Ogos pada Ramadan sama seperti beberapa tahun sejak kebelakangan ini.Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang di Kangar, Perlis secara besar-besaran yang sekali gus menandakan bermula sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 bertemakan ‘1Malaysia Menjana Transformasi’. 


Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini yang bermula dengan pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang di Perlis dijangka akan berakhir dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada tarikh 16 September yang sudah pun diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun ini, manakala sambutan Hari Kebangsaan pula akan berlangsung pada 31 Ogos di Stadium Putra Bukit Jalil. 



Sambutan bulan kemerdekaan seumpama ini sudah menjadi tradisi di negara kita setiap tahun demi memperingati semula detik kemerdekaan negara yang dicapai pada tanggal 31 Ogos 1957. 



Menariknya, pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini dilaksanakan selang sehari selepas sambutan Hari Pahlawan iaitu pada 31 Julai lalu. Kedua-dua peristiwa ini dilihat mempunyai nilai signifikan dan hubung kait yang cukup kuat dan erat. 



Pengorbanan wira negara, pejuang bangsa dan bekas perajurit yang berjuang tanpa mengenal erti takut dan putus asa akhirnya sudah menjelmakan kebebasan yang mutlak kepada negara kita daripada penjajah. Tanpa mereka tidak mungkin kita akan mengecapi nikmat kebebasan dan kemerdekaan yang ada pada hari ini. Jasa dan sumbangan mereka bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan begitu saja, malah ia adalah terlalu besar dari segi nilai dan harganya kepada generasi yang ada pada hari ini.
Justeru, segala pengorbanan mereka tidak boleh disia-siakan begitu saja. Persoalannya, adakah selama ini kita benar-benar ikhlas menyanjung segala pengorbanan wira negara. Dalam konteks ini dua perkara yang sering menjadi persoalan utama ialah aspek keikhlasan dan penghayatan dalam kita menyambut sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan setiap tahun sebagai memperingati detik sejarah negara ini yang terlakar hasil pengorbanan mereka. Ini kerana keikhlasan kita dalam memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan boleh dilihat sebagai hadiah terbaik kepada semua pejuang kemerdekaan tanah air. 



Penulis berpendapat antara cara terbaik untuk menunjukkan penghargaan kepada pejuang serta membuktikan kita menghargai nilai kemerdekaan yang diwariskan kepada kita ialah dengan cara kita menzahirkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dengan penuh ikhlas serta penghayatan yang mendalam. Hanya dengan cara ini, kita dapat membalas jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air. 



Kita tidak mahu Ogos dan tarikh 31 Ogos datang dan pergi begitu saja sekadar memenuhi kalendar tahunan kita. Ia perlu disambut dan diraikan secara ikhlas dengan penuh penghayatan yang mendalam terutama oleh generasi pasca merdeka yang tidak mengenal erti kesusahan dan kepayahan dijajah oleh orang luar. 



Ini penting kerana pengamatan pada tahun lalu menunjukkan walaupun kita tidak pernah ketinggalan melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang pada setiap tahun, namun sambutan dan kemeriahan dalam kalangan masyarakat kita masih rendah, malah ada kala kita berasakan ia berada pada tahap yang cukup mendukacitakan. 



Misalnya, bilangan premis kerajaan mahupun organisasi korporat yang mengibarkan Jalur Gemilang secara relatifnya masih sedikit. Jumlah kenderaan yang memasang Jalur Gemilang juga dilihat tidak begitu memberangsangkan. Malah kebanyakan daripada kita hanya akan memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing apabila ia diberikan percuma. Tidak ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli Jalur Gemilang sendiri walaupun kosnya cukup rendah dan murah. 



Dalam isu ini, kita tidak boleh menafikan mungkin ada kebenaran pada hujah segelintir masyarakat bahawa tindakan tidak memasang bendera tidak bererti mereka tiada semangat mencintai negara, tetapi adakah kita mempunyai cara lain yang lebih senang dan mudah untuk menzahirkan perasaan sayang kita kepada ibu pertiwi? Bukankah sewajarnya kita berbangga dengan bendera kita kerana ia adalah payung negara ini. 



Kalau bendera pun tidak boleh dikibarkan, apatah lagi hal lain yang lebih besar. Justeru, kita perlu ikhlas dan benar-benar menghayati sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda kita sayang dan cintakan negara ini. 



Tahap kesedaran untuk menghayati nilai kemerdekaan di kalangan generasi muda dilihat semakin pudar ataupun kurang meresapi jiwa mereka. Kita perlu berusaha untuk memupuk nilai kasih dan sayang kepada negara ke dalam sanubari mereka secara mendalam dengan penuh penghayatan supaya mereka akan sedar dan seterusnya akan mempertahankan kemerdekaan yang ada pada hari ini. 



Untuk itu, di samping memupuk budaya cintakan negara melalui sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang kita juga wajar memikirkan cara lain melalui pendekatan yang berbeza agar keikhlasan dan penghayatan dapat diterjemahkan seperti yang kita harapkan. 



Antara caranya ialah kita perlu fokus dalam menjalankan sesuatu kempen kesedaran seperti ini agar ia membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam hal ini kumpulan pelajar sekolah dan pelajar IPT yang bakal menjadi pewaris negara wajar diberi perhatian lebih. Kumpulan ini perlu disedarkan kepentingan untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan kita. Walaupun pihak sekolah dan IPT sering menganjurkan pelbagai program kesedaran sepanjang Ogos, sudah tiba masanya untuk kita menilai semula serta memberi nafas baru kepada program yang dianjurkan itu agar ia dapat memberi impak yang diharapkan._BH 



Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Kesihatan Universiti, UP


No comments:

Post a Comment