Sunday 19 August 2012

BERITA PILIHAN BLOG: SYAWAL PENYATUAN UMMAH

1 Syawal dirai dengan penuh kesyukuran

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini meraikan kedatangan 1 Syawal hari ini dengan penuh kesyukuran atas nikmat keamanan dan kesejahteraan serta menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid yang turut disertai oleh para pemimpin negeri masing-masing.

Seperti sebelum ini, sambutan Aidilfitri tahun ini turut dimeriahkan dengan tradisi penganjuran rumah terbuka oleh para pemimpin serta orang ramai.

Di ALOR SETAR, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah menyertai ribuan umat Islam di negeri ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir.

Turut berangkat ialah anggota jemaah Pemangku Sultan yang lain iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah serta Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah masih berehat selepas menjalani pembedahan mata kiri bagi membaiki masalah Makula.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada 14 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong akan berehat sepenuhnya dalam tempoh dua minggu, dan hanya kerabat diraja terdekat serta pembantu peribadi Tuanku Abdul Halim yang dibenar melawat sepanjang tempoh itu.

Di ARAU, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Selepas solat, Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis berkenan menerima menghadap para pembesar dan rakyat jelata pada majlis 'istana terbuka' di Dataran Majlis Istana Arau.

Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menyertai kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek di Petra Jaya.

Turut hadir ialah isteri beliau, Toh Puah Rokiah Abdullah, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Utiliti Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan pemimpin negeri yang lain.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 umat Islam di Masjid Al Azim, Bukit Palah.

Turut serta menunaikan solat itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad, anggota Exco Kerajaan Negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Di KUALA KANGSAR, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan kerabat diraja Perak turut menyertai lebih 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta anggota-anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Selesai menunaikan solat itu, Raja Nazrin Shah bersalaman dengan rakyat jelata sebelum menziarahi makam Diraja.

Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 rakyat di Masjid Muhammadi.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa'iz Petra Ismail Petra, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Baginda turut bersalaman dengan jemaah masjid selepas menunaikan solat sebelum berangkat menziarahi Makam Diraja Langgar dan seterusnya menerima menghadap rakyat di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid bersebelahan rumahnya di Kampung

Pulau Melaka.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 35,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan diimamkan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Turut menunaikan solat sunat di masjid negeri itu ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa anggota exco.

Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang diiringi kerabat diraja dan pemimpin negeri berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 orang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang.

Selepas menunaikan solat, baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan kerabat diraja kemudian menziarahi makan diraja di perkarangan masjid itu.

Di KUALA PILAH, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama-sama dua anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti.

Turut serta ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan serta kira-kira 400 jemaah yang lain.

Baginda kemudian menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid itu yang menempatkan makam Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman dan ayahanda baginda, Tuanku Munawir.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 3,000 rakyat jelata di Masjid Negeri, Sembulan, diikuti program rumah terbuka di Istana Negeri yang dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan para menteri Kabinet negeri serta jemputan khas. 

www.sinarharian.com.my
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment