Thursday 1 November 2012

Wajar tangguh laksana AES

SHAH ALAM – Cadangan Pemuda Umno mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah wajar kerana membolehkan kerajaan mengkaji dan mengatasi kelemahan yang terdapat pada sistem itu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, AES langkah pencegahan tetapi kaedah memerangkap pemandu laju tersembunyi bukanlah kaedah terbaik.

Menurutnya, pelaksanaan AES di negara maju memberikan amaran terlebih dahulu sebelum menghampiri kawasan yang mempunyai sistem itu.

"Pemilihan kawasan penting untuk meletakkan sistem itu dan amaran perangkap had laju perlu diletakkan lima kilometer sebelum AES untuk membolehkan pemandu memperlahankan kenderaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamed Mustafa berkata, Barisan Nasional (BN) perlu prihatin terhadap isu ini kerana ia melibatkan rakyat.

"Isu ini menyebabkan BN tidak popular  kerana rakyat tidak berpuas hati apabila dipaksa membayar. Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan sistem ini," katanya.

Beliau berkata, isu tersebut dipolitikkan pihak pembangkang dan kerajaan perlu bertanggungjawab mengatasi kelemahan- kelemahan yang ada pada sistem itu.


Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak (gambar)

"Tidak ada masalah sistem ini ditangguhkan. Kajian semula perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Ahli Bersekutu Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, penangguhan akan memberikan kesan kepada pilihan raya kerana ada pihak memanipulasi isu ini.

"Kesannya bergantung kepada keupayaan pihak berwajib untuk mempertahankan keputusan mereka," katanya.

Beliau berkata, cadangan penangguhan AES oleh Pemuda Umno juga akan memberikan kesan kepada pemimpin BN yang bersetuju dengan pelaksanaan AES sebelum ini.

"Kesannya pasti ada tetapi sekurang-kurangnya membuka ruang perbincangan supaya keputusan yang menang- menang kepada semua pihak," katanya.

Sinarharian.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment