Monday 12 November 2012

Ahli Parlimen Bachok (PAS) bertegas @n_Izzah tarik balik kenyataan.

-LEBIH BAIK MENYINGGUNG RAKAN DALAM PAKATAN DARIPADA MENYINGGUNG ISLAM ITU SENDIRI ,
TEGAS NASHARUDIN!! DENGAR TU NUROOL? SALUTE SAMA USTAZ NASHA KERANA BERANI
 BERKATA-KATA KERANA KEBENARAN SEDANGKAN YANG LAN MACAM TAKDE TELOQ!!KEKEKE!!-


TEMURAMAH NASHARUDIN MAT ISA BERSAMA MINGGUAN MALAYSIA- 



MINGGUAN: Apa pandangan 
Yang Berhormat (YB) tentang kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa orang Melayu bebas memilih agama mereka dalam satu forum di sebuah gereja di Subang Jaya, Sabtu lalu?

NASHARUDIN: Isu ini pada saya, sangat fundamental dan menyentuh umat Islam di Malaysia terutamanya malah Islam secara amnya, ditinjau daripada segi tasawwur dan epistemologi Islam. Isu ini sangat serius kerana melibatkan perkara asas Islam itu sendiri. Oleh itu ia mesti dijelaskan secara ilmiah tetapi mudah difahami oleh semua umat Islam dan juga rakyat di Malaysia.

Pertamanya, kita sedia maklum latar belakang setting isu ini timbul, yakni dalam suatu forum, di sebuah gereja dan dianjurkan oleh pihak gereja. Keduanya, berlaku cubaan untuk menjawab balik oleh Ahli Parlimen berkenaan dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu, menyalahkan Utusan Malaysia contohnya kononnya disalahtafsir atau disalahpetik. Ketiganya, ramai di kalangan kita termasuklah saya sendiri, mula mendapat tahu isu tersebut dalam portal media internet. Dan keempatnya, kini seluruh rakyat Malaysia boleh lihat dan dengar hampir setiap hari di dalam berita televisyen kenyataan asal Nurul Izzah dalam bentuk verbatim - amat terang dan jelas maksud setiap perkataan yang beliau ucapkan itu. Itu adalah empat perkara penting yang menggarisi ulasan saya seterusnya.

Di dalam Fiqh Islami, terdapat satu kaedah penting yang diterimapakai oleh pakar-pakar dan sarjana Islam, bermaksud (nahkum bizawahir wallah yatawwala bi alsaraair) yakni, kita meletakkan hukum dengan perkara yang zahir; perkara tidak zahir (yakni tidak nampak) kita serah kepada Allah SWT". Ini kaedah Islam yang digunapakai sehingga kini oleh para ulama. Dalam konteks kenyataan Nurul Izzah secara zahirnya dan berdasarkan pengamatan yang kita semua dapat lihat dan dengar, beliau menyebut dengan jelas dan bermaksud untuk memberikan kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia untuk membuat pilihan. Dalam hal ini beliau mentafsirkan ayat ke-256 surah al-Baqarah yang bermaksud 'Tiada paksaan dalam agama' untuk ke arah sebagaimana yang telah beliau ucapkan, iaitu dengan maksud untuk memberikan kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia untuk membuat pilihan beragama. Itu adalah maksud yang amat jelas daripada ucapan beliau yang dilafazkan secara zahir lagi terang. Begitulah yang boleh difahami dan setakat saya bertanya beberapa kali dengan ramai kalangan yang turut sama mendengar ucapan beliau tersebut. Itulah perkara zahir yang diucapkan oleh Nurul Izzah yang dirakam secara verbatim tanpa edit oleh media elektronik. Disebabkan itu, maka Nurul Izzah harus memberi penjelasan - umpamanya apa sebenar maksud beliau jika menafikan berkata begitu? Apa hujah beliau berkata demikian? Jika beliau akui berkata demikian, beliau harus menariknya semula kerana kata-kata itu bertentangan dengan epistemologi dan tasawwur Islam. Mudahnya, ia menyalahi hukum Islam, bercanggah dengan al-Quran dan hadis malah bertentangan dengan akidah Islamiah yang suci murni itu. Kenyataan beliau juga menyalahi pemahaman dan tafsiran yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Sebagai seorang Ahli Parlimen, adalah dianggap beliau memahami tafsiran Melayu-Islam dalam konteks Perlembagaan Negara. Kalau tidak pun menarik balik kenyataan tersebut kerana ini ada berkaitan dengan akidah.

Ayat 'Tiada paksaan dalam agama' itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam. Tafsiran ini disepakati oleh seluruh Mufassirin (Ahli Tafsir) Islam tanpa khilaf. Tafsiran itu bermaksud selagi mana seseorang itu bukan Islam, kita sebagai Muslim, tidak ada hak sedikit pun untuk memaksa dia memeluk Islam. Namun, apabila orang bukan Islam itu sudah menjadi seorang Muslim, maka ayat ke-36 daripada surah al-Ahzah yang bermaksud 'Tidak boleh bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang satu urusan mereka tidak hak untuk memilih......' terpakai ke atasnya sebagai Muslim. Ini adalah tafsiran tanpa khilaf di kalangan ulama sejak dulu hingga kini. Orang Islam tertakluk dengan ayat ini. Apabila Allah telah tentukan dalam urusan berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak kita tidak ada hak untuk memilih. Hak kita hanya (Sami' na wa ata'na) yakni "kami dengar, dan kami taat" sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran.

Oleh itulah, istidlal (pendalilan) yang digunakan oleh Nurul Izzah kepada ayat "Tiada paksaan dalam agama" itu untuk digunapakai kepada orang Melayu mempunyai beberapa implikasi serius. Pertama, ia bercanggah dengan prinsip asas "Akidah dan Syariah Islam. Kedua, ia juga bercanggah dengan pemahaman dan tafsiran peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang saya sebut terdahulu, kenyataan Nurul Izzah itu sebenarnya adalah kenyataan yang cukup besar dan membawa implikasi yang amat dalam kepada umat Islam di Malaysia .

Saya juga sudah membaca sebuah laporan di dalam Utusan Malaysia yang menyiarkan berita mengenai individu yang bertanya soalan itu kepada Nurul Izzah. Orang yang bertanya itu pula secara kebetulan seorang peguam berdaftar, menyatakan bahawa dia sendiri amat memahami apa yang dijawab oleh Nurul Izzah sebagai mengiyakan supaya orang Melayu boleh dan berhak memilih agama - dengan maksud "tidak semestinya orang Melayu itu menjadi Muslim secara natural, jika orang Melayu itu tidak mahu memilih Islam sebagai agamanya". Itulah konteks ucapan beliau, sebab itulah saya kata isu ini merupakan satu isu yang besar dan Nurul Izzah harus bertanggungjawab dengan kenyataan tersebut.

Dalam hal ini, saya menyarankan supaya Nurul Izzah menarik balik kenyataan itu. Dalam Islam, apabila kita melakukan kesalahan, dan apabila kita sedar kita tersilap, kita boleh membetulkannya, bertaubat di atas kesalahan kita dan Allah SWT pasti menerima pengampunan kita kerana Allah SWT itu Maha Pengampun Lagi Mengasihani. Yang paling penting di sini, kita sedar kita silap dan memohon maaf kepada siapa yang telah lakukan kesalahan berkenaan, dan selepas itu bertaubat kepada Allah SWT. Inilah kelebihan Islam di mana Allah SWT memahami kelemahan insan. Dalam kes ini, Nurul Izzah telah mentafsirkan ayat tidak kena pada tempatnya dan tafsiran yang dibuat itu adalah tafsiran yang salah.

Sebab itulah saya merasakan isu ini boleh menimbulkan kekeliruan yang cukup besar dalam masyarakat kita. Sebagai komponen Pakatan Rakyat, Pas khasnya, kepimpinan Pas yang terdiri daripada kalangan ulama harus memandang serius kenyataan ini. Sebelum ini, isu hudud telah menimbulkan satu polemik besar dalam masyarakat dan ia tidak terjawab sehingga hari ini. Saya telah menyatakan pendirian secara terbuka tentang isu hudud ini, bagi saya, ia merupakan satu tamparan yang cukup kuat kepada Pas dalam usaha kita hendak meneruskan agenda memperkenalkan Islam itu kepada masyarakat.

Sekarang isu terbaru ini pula yang berbangkit dan bagi saya, kenyataan zahir yang dibuat oleh Nurul Izzah bercanggah dengan Islam dan dengan apa yang sepatutnya difahami daripada ayat yang beliau bacakan itu.

Ada pemimpin kanan Pas yang menganggap isu yang dikaitkan dengan Nurul Izzah ini isu remeh?

NASHARUDIN: Bagi saya, ini isu besar kerana ia melibatkan akidah dan salah tafsir terhadap Islam. Menjadi hebat lagi isu ini kerana semua orang boleh akses di dalam YouTube, tiap-tiap malam orang tengok berita di dalam media dan kini menjadi perdebatan, ini bukan satu isu yang remeh. Ia berlaku kerana dibangkitkan oleh orang yang bukan ahli dalam bidang Islam tetapi membuat tafsiran yang silap terhadap Islam. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah memberi amaran yang bermaksud "Apabila diletakkan amanah itu kepada orang yang bukan ahlinya, kamu tunggulah saat kehancurannya". Mentafsirkan Islam daripada seorang yang bukan ahlinya dan tafsiran itu pula salah melibatkan akidah, ini cukup bahaya.
Tetapi masalahnya ada beberapa pemimpin kanan Pas mempertahankan kenyataan Nurul Izzah?

NASHARUDIN: Saya lihat orang yang mempertahankannya itu bukan berlatar belakangkan pengajian Islam secara akademiknya apatah lagi dari kalangan ulamak. Dalam hal-hal tentang pentafsiran ayat-ayat al-Quran biarlah ahlinya sahaja yang bercakap. Janganlah kerana (mungkin) hendak dikaitkan dengan politik, tuduhan dan sebagainya ada orang yang bukan berlatar belakang asas pengajian Islam pun hendak bercakap mengenai hukum hakam agama Islam. Ini yang akan terus menerus menimbulkan polemik.

Ada pihak yang mengaitkan kenyataan Nurul Izzah itu dengan agenda fahaman pluralisme?

NASHARUDIN: Kita berhukum pada perkara yang zahir. Kenyataan itu bagi saya bukan sahaja mengiyakan gerakan fahaman pluralisme agama juga termasuk dalam kategori mengiyakan fahaman liberalisme iaitu 'meliberalkan' fahaman agama Islam dan 'mempluralkan' fahaman agama Islam. Meletakkan agama Islam itu sama taraf dengan agama-agama lain. Ini bercanggah dengan Islam, bercanggah dengan akidah Islam. Betul, ada ayat al-Quran yang menyatakan tiada paksaan dalam agama dan Allah sendiri menyebutnya dalam al-Quran dalam surah al-Kafirun ayat 6, yakni lakum dinukum wa liyadin bermaksud "Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku." . Maksudnya di sini, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, kita menghormati orang beragama Kristian, orang yang memilih Hindu sebagai agamanya, kita menghormati orang memilih Buddha sebagai fahamannya. Daripada segi hormat-menghormati, ya kita dituntut menghormatinya. Saya juga selalu menyebut Islam mengajar kita untuk menghormati orang sesama Islam sebagai saudara kita seiman dan orang bukan Islam sebagai saudara kita seinsan. Paksa tidak boleh. Tetapi barang diingat, berdakwah, sama ada kepada Muslim atau non-Muslim, adalah wajib dan berterusan sehingga hari kiamat. Demikilah Islam yang mesti kita baca dan faham dalam konteks the bigger picture of Islam. Dan memberi kebebasan beragama kepada orang Melayu "untuk memilih agamanya sendiri" adalah satu saranan yang cukup bercanggah dengan ajaran Islam dan peruntukan Perlembagaan kita.

Ada penyokong-penyokong Pas merasa tidak selesa dengan isu Nurul Izzah ini, sejauh mana YB yakin Pas ada keberanian bersuara dalam isu ini.

NASHARUDIN: Apa yang saudara katakan itu betul yang mana ramai yang menghubungi saya tentang isu ini. Mereka tunggu kenyataan kepimpinan tertinggi dan sampai sekarang tidak keluar-keluar lagi. Ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan. Saya katakan saya bukan kepimpinan tertinggi. Namun atas nama seorang Muslim saya berpandangan Pas harus berani menyatakan pendiriannya sebagaimana orang Pas diajar dalam skema tarbiah Pas itu sendiri.
Saya amat yakin Pas berani untuk menyatakan pendiriannya sebab aliran pluralisme agama, aliran liberalisme merupakan dua aliran yang ditentang hebat oleh Pas. Dakwah yang dibawa oleh Pas sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang ialah mengajak kepada Islam yang syumul. Kita selalu dididik dalam Pas untuk menghayati ayat 208 surah al-Baqarah yang bermaksud "Wahai orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya". Itulah yang dididik oleh Pas kepada kami. Betul, kita boleh berkawan dengan pihak lain sehingga ke peringkat bertahalluf daripada segi siasahnya tetapi seperti yang saya katakan dahulu at-tahalluf as-siyasi ada syarat dan batasnya juga. Kita berkawan dengan orang (parti lain) ada syarat-syaratnya. Dalam konteks ini saya pasti mungkin dalam tempoh terdekat ini ada pimpinan terkanan Pas akan membuat kenyataan dan saya juga dapat merasakan ini akan menjadi topik yang akan ketengahkan oleh para perwakilan dalam Muktamar Tahun Pas Ke-58 minggu depan. Mengapa tidak - bukankah ini isu yang sangat fundamental dalam arus perdana dasar perjuangan Pas yakni, al-amru bil makruf, wan-nahyu 'anil munkar - menyeru kepada yang baik dan mencegah daripada kejahatan.

Dalam isu Nurul Izzah ini kita mesti menjaga dan membela kredibiliti Pas dalam memperjuangkan Islam yang mana akidah tidak sepatutnya dipolitikkan. Pemikiran dan amalan pluralisme dan liberalisme bercanggah dengan perjuangan Pas sejak parti ini ditubuhkan. Selain sebagai seorang Muslim, saya juga bercakap sebagai aktivis Pas dan Ahli Majlis Syura Pas. Saya sudah menjalankan tugas mengeluarkan kenyataan ini - mendahulukan asas Islam daripada perimbangan dan perkiraan poltik kepartaian. Kredibiliti Pas harus diangkat kerana kita telah diterjah dengan beberapa isu yang Pas tidak respons dengan cara yang dikehendaki oleh Islam dan juga oleh ahli serta para penyokong Pas. Jadi, dalam isu ini diharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin supaya persiapan Pas untuk menghadapi PRU-13 dengan imej Islamnya tidak akan terganggu sehingga mengakibatkan nanti boleh hilang kepercayaan pengundi-pengundi teras Pas iaitu orang Melayu Islam. Majlis Syura dan Dewan Ulama Pas harus proaktif dan berani memastikan haluan parti berada di atas landasan syarak yang jelas.Wajib bersuara di mana perlu kerana tanggungjawab dan amanah disaksikan Allah SWT.

Apakah kesannya dalam isu ini jika Pas tidak membuat pendirian yang jelas?

NASHARUDIN: Saya melihat ada kesannya. Mahu tidak mahu kita terpaksa akur bahawa Pas akan bertanding dalam kawasan pilihan raya yang mempunyai majoriti pengundi di kalangan orang Melayu Islam. Seperkara lagi, bukankah kita selalu menyebut bahawa politik adalah hal berkaitan dengan persepsi rakyat dan masyarakat. Jadi persepsi yang sebegini, apabila Pas tidak dilihat mendepani atau berada di saf hadapan mempertahankan hal yang berkaitan dengan akidah atau menjelaskan hal berkaitan dengan 'akidah mungkin orang akan letakkan Pas ini sama tarafnya dengan parti-parti politik yang lain.

Adakah benar timbul persepsi meluas bahawa keengganan Pas membuat teguran dalam isu ini kerana tidak mahu menyinggung hati rakan-rakan dalam pakatan pembangkang?

NASHARUDIN: Beginilah, tegasnya saya lebih bersedia dan jauh lebih baik jika saya singgung rakan dalam pakatan daripada menyinggung Islam itu sendiri ataupun menyinggung dalam konteks politiknya harapan dan kepercayaan orang yang hendak melihat Pas ini memperjuangkan Islam.

Sumber: Wira Kenyalang™

2 comments:

  1. rakyat mesti bangkit menentang nurul izzah ini.

    ReplyDelete
  2. bangkit menentang pakatan pembangkang

    ReplyDelete