Friday, 13 September 2013

Gempar !! Tanjung Piai Johor, mungkin ‘hilang’. #1Malaysia #rakyatnews


Jajaran pantai sekitar Tanjung Piai, di sini, diancam hakisan teruk berikutan kawasan perairan berhampiran yang menjadi laluan kapal dagang dari Selat Melaka ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Singapura.

Adun Kukup, Suhaimi Yusof berkata, hakisan pantai sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan terdapat kawasan pokok di jajaran pantai mulai pupus.

Menurutnya, akibatnya, Tanjung Piai sebagai Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia tidak mustahil akan hilang akibat hakisan semakin parah.  

"Hakisan pantai sememangnya tidak dapat dielak, malah kesannya sudah boleh dijangka apabila kawasan di sekitar Tanjung Piai ini dibangunkan dengan projek mega.

"Cadangan pembinaan benteng penahan hakisan perlu dilaksanakan segera. Perkara ini sudah dipanjangkan ke peringkat negeri bagi tindakan susulan.

"Langkah tersebut penting bagi memastikan Tanjung Piai yang terkenal sebagai kawasan penghujung benua Asia tidak akan 'hilang'," katanya ketika mengadakan tinjauan ke lokasi, semalam.

Suhaimi berkata, peruntukan sebanyak RM30 juta diperlukan bagi pembinaan benteng kekal di sepanjang kawasan pantai di Tanjung Piai yang mempunyai jajaran pantai kira-kira lima kilometer.

Katanya, buat masa ini belum ada rumah atau kebun penduduk yang rosak akibat hakisan pantai kerana tali air menjadi pemisah antara kawasan kampung dengan pantai.

Beliau memberitahu, langkah sama telah dilakukan kerajaan dengan membina benteng batu kekal di kawasan Taman Awam Pontian dan meninggikan benteng di Rambah sekali gus berjaya mengatasi masalah hakisan.

"Masalah hakisan di sini mendapat perhatian serius penduduk tempatan yang sebahagiannya bekerja sebagai nelayan pesisir pantai.

"Golongan nelayan melihat perubahan besar yang berlaku di sini dan meminta kerajaan mengambil segera membina tembok untuk mengatasi hakisan.

"Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) juga telah membina benteng batu di kawasan berhampiran jeti di Kampung Perpat Timbul.

"Pembinaan benteng tersebut yang siap pada pertengahan tahun dijangka dapat mengurangkan hakisan berhampiran kawasan jeti," katanya.

Sementara itu, penduduk, Mansor Maidin berkata, kira-kira 20 meter kawasan daratan terhakis dalam tempoh setahun.

"Tindakan segera membina tembok kekal perlu dilakukan bagi memastikan penduduk kampung tidak menjadi mangsa banjir kilat akibat pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

"Tanaman seperti kelapa sawit dan pisang juga akan rosak dan merugikan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun.

"Penduduk amat berharap agar kerajaan membina benteng kekal untuk memperlahankan hakisan pantai dan mengurangkan risiko terjadinya banjir kilat di sini," katanya.

Sumber.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.















No comments:

Post a Comment