Sunday 23 September 2012

@Khalid_Ibrahim. Cuba main silap mata.

K'jaan Selangor Kelirukan Rakyat Dalam Isu Air

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor sengaja mengelirukan orang ramai berhubung isu air di negeri ini demi memenuhi agenda politiknya, tanpa menghiraukan kepentingan pengguna dan ekonomi, kata seorang aktivis kepenggunaan terkenal, Ahad.

Presidan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr Jacob George berkata maklum balas yang beliau terima menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk Selangor keliru tentang pihak manakah yang betul dalam isu berkenaan.

Katanya dalam keadaan yang dibelenggu kekeliruan ini, kerajaan negeri Selangor menimbulkan satu lagi perkara ke dalam isu ini bahawa tarif air akan naik sekiranya kerajaan persekutuan meneruskan rancangannya untuk membina loji rawatan air Langat 2.

Dr George berkata beliau kesal apabila mendapati beberapa anggota exco dalam kerajaan Selangor yang sebelum ini merupakan aktivis dalam badan bukan kerajaan (NGO), melihat semua perkara secara negatif, walaupun kerajaan persekutuan berniat baik dalam rancangannya untuk memperbaiki keadaan di negara ini.

"Saya terlibat dengan pelbagai NGO selama 37 tahun. Saya dapat melihat permainan mereka (dalam isu air), strategi mereka dan mereka menimbulkan perkara yang tidak relevan, semata-mata untuk menyekat langkah yang cuba dilaksanakan kerajaan persekutuan," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Dr George mendakwa kerajaan negeri Selangor juga menyeret isu antara pihaknya dengan Puncak Niaga Holdings Bhd ke dalam isu air di negeri ini, sedangkan ia sepatutnya diselesaikan melalui platform lain.

Beliau berkata masa yang digunakan untuk melayan perkara yang tidak relevan itu sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan krisis air yang bakal melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kenapakah kerajaan negeri melakukan semua ini? Janganlah mencampuradukkan semua ini dan meletakkannya ke dalam satu bakul. Ini tidak betul. Ia melibatkan masa depan kami, bukan saja penduduk Selangor, tetapi juga jiran kami (di Kuala Lumpur dan Putrajaya) kerana ia (krisis air) akan memberi kesan serius," kata Dr George.

Mengenai rancangan pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang mendapat tentangan kerajaan negeri, presiden CASSA ini berkata semua kajian pakar menunjukkan bahawa projek itu perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan pengeluaran air yang dirawat menurun dengan ketara, walaupun 34 loji sedia ada di Selangor beroperasi pada tahap maksimum.

Katanya dalam hal ini, kerajaan negeri sekali lagi mengelirukan pengguna apabila ia berkata semua kawasan takungan dipenuhi air dan krisis air tidak akan berlaku, walaupun perkara yang dihujahkan ialah mengenai bekalan air dirawat yang tidak mencukupi.

Beliau berkata perkara yang ingin dilakukan kerajaan persekutuan ialah melaksanakan rancangan jangka panjang untuk menangani krisis air yang bakal berlaku berikutan pertambahan penduduk dan peningkatan keperluan industri.

"Rancangan ini adalah untuk tempoh 10, 15 atau 20 tahun akan datang dan apabila bercakap tentang air, sudah pasti akan timbul masalah. Ini merupakan isu global sekarang dan setiap negara menghadapinya, berikutan masalah berkaitan cuaca, alam sekitar dan pencemaran," katanya.

Dr George berkata projek seperti Langat 2 tidak boleh disiapkan dalam tempoh semalaman dan sebarang kelewatan yang berpunca daripada politiking, boleh menyebabkan kos untuk melaksanakannya melonjak hingga sebanyak 70 peratus.

Lagipun, kata beliau, isu ini tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia merupakan isu hak asasi manusia dan dalam menghadapi isu berkaitan hak pengguna, semua pihak perlu bersikap waras serta memberi fokus terhadap isu sebenar.

Dr George berkata CASSA pernah menawarkan diri menjadi orang tengah dalam konflik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ini, tetapi kerajaan negeri Selangor menolaknya, walaupun kerajaan persekutuan memberi respons positif.

"Kami dah hantar banyak surat kepada mereka (kerajaan negeri Selangor) untuk memberi maklum balas daripada pengguna, tapi mereka tak pernah menjawabnya. Oleh itu, tahulah kami bahawa mereka tidak mahu CASSA campur tangan, tapi itu adalah pilihan mereka.

"Kami menerimanya, tapi jangan kata kami tidak tahu keadaan di lapangan. Kami turun padang untuk bercakap dengan pelbagai kumpulan masyarakat dan setiap orang bersetuju bahawa krisis air akan berlaku tidak lama lagi," kata Dr George.

Beliau juga membidas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana bersikap agak membisu tentang isu air di Selangor dan perkara ini menambahkan lagi kekeliruan sedia ada.

"CASSA amat kecewa dengan SPAN dan tanggapan orang ramai terhadap SPAN agak negatif, seolah-olah ia tidak wujud. Sudah banyak kali kami menjemput mereka untuk berbahas tentang isu air, tapi mereka tidak hadir. Sekiranya mereka terus tidak berminat untuk memainkan peranan, maka tiada gunalah SPAN ditubuhkan.

"Dengan semua kuasa yang ada padanya, SPAN perlu berada di barisan hadapan untuk cuba menyelesaikan isu ini dan kekeliruan yang timbul mengenainya," kata beliau. BERNAMA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment