Friday 28 September 2012

PANAS : Sham (Kamikaze), Isteri Disahkan Cerai Setahun Lalu

Farazila membuat permohonan cerai terhadap suaminya pada 30 Ogos lalu.

SHAH ALAM: Hasrat isteri kepada komposer dan pendakwah bebas Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar yang ingin menuntut cerai daripada suaminya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis menjadi sebaliknya apabila pasangan tersebut sebenarnya disahkan bukan lagi suami isteri sejak 1 September tahun lalu.

Ia disebabkan tindakan rujuk yang dilakukan oleh pasangan tersebut secara perbuatan selepas 15 hari lafaz cerai dibuat adalah tidak sah mengikut mazhab Syafie.

Mereka juga telah melakukan perbuatan "muasyarah" iaitu yakin hidup sebagai suami isteri tanpa menyedari pernikahan mereka sudah terbatal.

Malah pasangan berkenaan juga tidak melaporkan lafaz cerai berkenaan kepada pihak mahkamah.

Hakim Syarie, Atras Mohammad Zin memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pasangan tersebut dalam sebutan kes mereka di sini pada Khamis.

Atras berkata, perbuatan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, (defendan) yang tidak melaporkan lafaz cerai dan kembali rujuk itu menyalahi undang-undang syariah negeri itu selain bercanggah dengan hukum syarak yang telah ditetapkan.

"Walaupun rujuk secara perbuatan itu tidak salah dari segi hukum tetapi defendan harus melihat ia mengikut konteks undang-undang dan mazhab yang diguna pakai di negara ini.

"Defendan sepatutnya merujuk perkara berkenaan kepada mahkamah syariah untuk memutuskan perkara itu sebagai sah atau pun tidak," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya tidak lagi menjadi suami isteri selepas lafaz cerai itu dibuat walaupun Sham menganggap dia sudah rujuk semula dengan Farazila, 31, (plaintif).

"Dengan ini mahkamah mengesahkan pihak defendan dan plaintif sah bercerai kali pertama pada tarikh tersebut dan rujuk perbuatan yang dibuat adalah tidak sah," katanya.

Sham dalam keterangannya memberitahu mahkamah dia telah melafazkan cerai terhadap Farazila di rumah mereka di Kondominium Sri Bayu USJ, Subang Jaya di sini kira-kira pukul 7 malam, 1 September 2011 (hari raya ketiga) dan kembali rujuk dengan perbuatan pada 16 September 2011.

Dia bagaimanapun mengakui tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak mahkamah.

Dalam pada itu, Farazila dalam keterangannya memberitahu selepas kembali rujuk mereka telah tinggal bersama sehingga 30 Ogos lalu iaitu pada hari dia memfailkan permohonan cerai terhadap Sham.

Berikutan pengesahan itu hakim memerintahkan plaintif menjalani edah muasyarah selama tiga bulan atau tiga kali suci bermula daripada tarikh dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan defendan.

Mahkamah turut memerintah Farazila untuk membatalkan permohonan cerai yang dibuatnya sebelum itu.

Terdahulu pasangan tersebut hadir ke mahkamah untuk mendengar sebutan tiga permohonan yang dibuat oleh Farazila iaitu pengesahan cerai, rujuk dan permohonan cerai.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara kecil-kecilan di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor.

Farazila hadir dengan berpakaian jubah hitam berserta tudung ungu ditemani oleh dua orang ahli keluarga manakala Sham yang berbaju putih dan berkopiah hadir seorang diri.

Kedua-dua pasangan itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu di luar mahkamah Farazila berkata, sebelum ini dia pernah menggesa Sham untuk melaporkan perkara itu ke mahkamah bagi mendapat kepastian tentang status perkahwinan mereka tetapi ditolak oleh bekas suaminya itu.

Menurut Farazila, Sham mengatakan perbuatan rujuk melalui perbuatan itu adalah sah selepas dia mendapat pandangan daripada ustaz selain berpandukan buku-buku agama walaupun tidak melaporkannya kepada mahkamah.

"Secara dasarnya ada hikmah saya memfailkan permohonan cerai pada 30 Ogos lalu kerana ia telah menyelesaikan kes lafaz cerai dan rujuk yang dibuat oleh dia (Sham) sebelum ini.

"Saya lega kerana segala-galanya telah selesai hari ini (Khamis) dan berharap akan lebih tenang selepas ini," katanya.

Manakala Sham pula memberitahu, dia reda dengan ketentuan Allah terhadap keputusan mahkamah dan enggan mengulas mengenai punca keretakan rumah tangga mereka berdua.

Mstar

KK_ Utamakan keluarga jangan utamakan Parti PAS. harap sham terus bersabar dengan dugaan dari Nya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment