Peserta beragama Islam yang tetap berkeras bertanding merebut gelaran 'Miss World Malaysia 2013.'Sara Amelia Bernard salah seorang peserta, mempersoalkan satu fatwa yang menyebabkan penganjur menggugurkan beliau
daripada menyertai pertandingan Miss Malaysia World 2013.
Beliau mendakwa fatwa yang diwartakan pada 1996 itu “lapuk” dan tidak lagi sesuai digunakan pada masa sekarang.
Wanita Islam Berkeras Sertai Ratu Cantik, Jawi Buka Kertas Siasatan
Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung peserta beragama Islam
yang tetap berkeras bertanding merebut gelaran 'Miss World Malaysia 2013.'
Pengarah Jawi, Datuk
Che Mat Che Ali berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama
Islam.
Di bawah Seksyen 7,
akta berkenaan, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan dan apabila
disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya. "Sebagai agensi penguat kuasa agama,
pihak Jawi akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti
serta keterangan yang mencukupi.
"Pendakwaan akan
dibuat terhadap mereka yang terlibat di Mahkamah Syariah," katanya dalam
kenyataan media pada Selasa.
Fatwa mengharamkan
penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8
Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan
1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa
bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah
haram dan berdosa bagi orang Islam.
Berdasarkan laporan
akhbar pada Selasa, peserta-peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka
dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu
cantik. "Oleh itu, kenyataan tersebut (kecewa dengan fatwa) dianggap telah
menghina Islam," katanya.
Sementara itu, Jabatan
Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan pihak Sister In Islam (SIS)
agar menghentikan provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu
cantik.
Ketua Pengarah Jakim
Datuk Othman Mustapha berkata umat Islam juga dinasihatkan supaya tidak
terpengaruh dengan kenyataan seumpama itu kerana kenyataan atau alasan yang
dikeluarkan adalah tidak berasas mengikut pandangan syarak dan tidak merujuk
kepada undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan.
"Tidak timbul isu
diskriminasi berasaskan gender, pilih bulu atau sebagainya jika kita
benar-benar memahami nas-nas syarak mengenai hukum tersebut.
"Dalam
membicarakan persoalan hukum hakam Islam, semua pihak khususnya SIS perlu ingat
bahawa ia tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak
berkelayakan dalam bidang agama kerana kenyataan yang dikeluarkan golongan
tidak berkelayakan inilah telah menimbulkan pelbagai kacau bilau dan salah
faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalarkan maruah agama dan umat Islam
seluruhnya," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment