Wednesday 24 October 2012

Polis Tahan 13 Lelaki Disyaki Terlibat Kes Menyamar Kerabat Diraja Kedah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abd Rahim Hanafi menunjukkan logo kerabat diraja yang palsu dipasang pada sebuah kereta mewah semasa membuat serbuan di sebuah hotel. Kereta berkenaan digunakan untuk menghadiri majlis perlantikan Ahli Majlis Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia yang dihadiri oleh 120 individu yang terlibat dalam pengurusan pusat hiburan. Seramai 13 orang yang menghadiri majlis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjutan. Pihak polis turut membuat siasatan terhadap penganjuran majlis berkenaan.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 13 lelaki disyaki terlibat dalam kes penyamaran anggota kerabat diraja Kedah di sebuah hotel di Jalan Penang pada Selasa.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan pukul 3 petang itu, kesemua lelaki berusia sekitar 38 hingga 61 tahun itu ditahan ketika menghadiri program yang dinamakan 'Majlis Pelantikan Ahli Pertubuhan Kebajikan Islamiah Malaysia Diraja' sebagai tetamu kehormat di hotel berkenaan.

Katanya majlis yang dijadual berlangsung dari pukul 3 hingga 5 petang itu dihadiri kira-kira 120 tetamu yang terdiri daripada individu terlibat dengan pengurusan pusat hiburan di negeri ini.

"Polis bertindak berdasarkan maklumat awam dan masih menyiasat apa relevannya majlis yang diadakan itu dengan pertubuhan terbabit serta motif penyamaran suspek," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya polis turut menyita sebuah kereta BMW, dokumen dan beberapa helai kain selempang yang didakwa milik kumpulan yang mendakwa sebagai kerabat diraja berkenaan.
Abdul Rahim berkata kesemua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Katanya kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Kita juga siasat kes ini mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan kerana meletakkan logo yang tidak sepatutnya pada kenderaan," katanya. - BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.








No comments:

Post a Comment