Friday 26 October 2012

Versi Baru 'Apo Kono Eh Jang' Bukan Rosakkan Lagu Asal" - Fida Ibrahim

Fida Ibrahim (Gambar 1)
PETALING JAYA: Pelakon yang kini bergelar penyanyi, Rafidah Ibrahim (Fida) berkata rakaman semula lagu Apo Kono Eh Jang nyanyian asal Ally Nor dan Mastura bukan bertujuan untuk merosakkan keaslian lagu yang pernah popular pada 1980-an itu.

Sebaliknya, Fida, 26, berkata, lagu versi baru yang menampilkan Datuk AC Mizal dan kumpulan Stellar itu diadun dengan muzik tekno dan rap mengikut trend dan selera muzik semasa.

"Saya dan penerbit lagu itu Sheikh Qalam langsung tidak berniat untuk merosakkan keaslian dan keindahan lagu asal tetapi sebagai penghargaan dengan elemen muzik semasa.

"Saya berharap usaha kami memberi suntikan nafas baru pada lagu Apo Kono Eh Jang tidak disalah ertikan oleh mana-mana pihak," katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Pelakon bertubuh kecil itu berkata, AC Mizal diundang untuk menyanyikan bahagian rap dalam lagu itu bagi menambahkan lagi impak dan kelainan pada lagu yang siap dirakamkan beberapa bulan lalu.

Versi baru Apo Kono Eh Jang menampilkan rap oleh AC Mizal.

"Memang pada asalnya, kolaborasi lagu ini membabitkan saya dan Stellar sahaja tetapi kami mempelawa Datuk (AC Mizal) bagi memberikan impak tersendiri.


"Kebetulan, beliau juga fasih bercakap dengan loghat Negeri Sembilan, maka kami tambahkan elemen rap menggunakan loghat itu bersesuaian dengan konsep asal lagu itu.
"Alhamdulillah, setakat ini lagu itu mendapat respons yang baik di radio dan laman YouTube sejak awal bulan ini," katanya.

Katanya, sebagai pelengkap kepada kemunculan lagu itu, klip video yang berkonsep ceria dan berwarna-warni itu baru sahaja disiapkan dan ia bakal dimuat naikkan di YouTube selepas Hari Raya Aidiladha.

"Kami siapkan klip video itu kira-kira dua minggu lalu dengan mengangkat tema ceria dan berwarna-warni.

"Peminat akan dapat melihat saya menari, bersikap 'gila-gila' dan memakai baju yang berkilat-kilat. Ia adalah sisi berbeza saya yang lebih berani istimewa untuk lagu itu.
"Namun, saya risau juga dengan penerimaan dan reaksi peminat apabila ia sudah dimuat naikkan nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fida bakal memasuki set penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Langit Ketujuh bermula Ahad ini. Mstar


KK_Moga bertambah rezeki Fida ni yer...makin menawan plak tu...



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.















No comments:

Post a Comment