Sunday, 22 December 2013

HATI-HATI raikan Krismas @ustazfathulbari @abuaqifstudio


Umat Islam perlu berhati-hati dalam keghairahan untuk bersama-sama meraikan sambutan Krismas kerana dikhuatiri tindakan yang dilakukan bercanggah dengan adab dan etika Islam.

Perkara itu termasuk dari segi memakai pakaian Santa Claus dan ucapan Merry Christmas.

Pemahaman umat Islam berhubung perkara itu perlu ditangani dengan bijaksana memandangkan ada umat Islam berpendapat memakai pakaian Santa Claus atau memberi ucapan Merry Christmas tidak akan menyebabkan mereka menjadi kafir atau merosakkan akidah. Ini kerana ramai berpendapat tindakan itu sekadar untuk meraikan perayaan tersebut.

Bagaimanapun, Penasihat Eksekutif Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, pandangan umum itu tidak betul kerana Islam mempunyai etika dalam pemakaian, sebab itu ada pakaian yang boleh dipakai dan sebaliknya.

"Memanglah memakai pakaian Santa Claus tidak akan membuat kita jadi kafir atau akidah Islam tergugat tetapi Islam mempunyai tatacara berpakaian.

"Sebab itu ada hadis nabi menyuruh lelaki Islam membela janggut bagi membezakan dengan Yahudi dan Majusi.

"Jadi, mengapa kita perlu menonjolkan pakaian yang bercanggah dengan etika Islam," katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sambutan Krismas yang diraikan secara besar-besaran di pusat membeli-belah sehingga ada dalam kalangan pekerja di kedai-kedai memakai pakaian Santa Claus atas alasan untuk memeriahkan sambutan perayaan itu.

Jelas beliau, walaupun umat Islam mempunyai niat yang baik untuk bersama-sama meraikan Krismas namun jika niat tidak selari dengan tindakan, lebih baik tidak melakukannya.

Nasihatnya, dalam apa-apa perkara pun, umat Islam mesti mendahulukan agama berbanding lain-lain.
"Jagalah nilai dan etika Islam, kalau sesuatu perkara bercanggah dan tidak diizinkan, janganlah melakukannya," tambah beliau.

- MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment