Tuesday 24 December 2013

UMNO sudah tidak relevan lagi ? @NajibRazak @tv3malaysia @BeritaHarian @myberita

KETIKA parti ultra kiasu Selangor sibuk dengan mahu menarik sokongan orang Melayu bagi menidakkan sokongan Melayu terhadap Umno, sepatutnya Umno memikirkan bagaimana untuk menangkis strategi tersebut, agar orang Melayu tidak terpengaruh dengan ultra kiasu.

Ini tidak, rakyat pula diuar-uarkan dengan kenaikan harga tol tidak lama lagi oleh kerajaan yang dipimpin Umno. Saya menjadi semakin keliru. Apakah makna tagline Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan? Apakah rakyat hanya didahulukan ketika menjelang pilihan raya? Selepas itu, dikemudiankan.

Nasihat kerdil saya, yang bukan pakar ekonomi kepada kerajaan, uruskan ekonomi negara ini dengan baik dan telus. Carilah jalan apa sekalipun untuk meningkatkan ekonomi negara, tetapi bukan dengan membebankan rakyat marhaen seperti kami. Bebankan orang kaya yang bertambah kaya.

Dahulu, Melayu mudah lupa, tetapi kini tidak lagi. Melayu sudah mula mengingati perkara yang telah dilupai sebelum ini. Saya bimbang, PRU14 Umno akan berasa akibatnya, jika langkah berjaga-jaga tidak diambil. Rakan-rakan saya yang dahulu pro-BN, sudah mulai menyampah.

Ingatlah! Bila taraf hidup tinggi, nilai wang makin kecil, kuasa membeli terbatas, macam-macam perkara negatif boleh berlaku. Manusia sanggup membunuh, menjual diri, dan berbagai perkara negatif lain, apabila perut kosong.

Jika dengan kenaikan tol, lebuh raya menjadi semakin efisien, tidak berlaku kesesakan, tidak mengapa juga. Ini tidak, lebuh raya semakin sesak. Peliknya, ketika tidak musim perayaan pun sesak juga.

Apakah kerajaan sudah buta dengan semua kenaikan ini? Bagaimana rakyat mahu menghadapi semua keadaan ini? Boleh dikatakan semua harga barang telah naik selepas PRU13. Apakah benar sinonim BN bermaksud Barang Naik? Cuba bandingkan dengan negara jiran kita seperti Thailand dan Vietnam. Barang-barang di sana masih murah berbanding kita di sini. Hari ini, nak makan tengah hari jika tidak ada RM10, tak makanlah jawabnya.

Kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi perjanjian antara syarikat konsesi jika benar berlaku perjanjian berat sebelah.

Peliknya, kenapa kita menandatangani perjanjian bodoh yang tidak menyebelahi rakyat? Sama seperti perjanjian air dengan Singapura.

Apakah syarikat konsesi tersebut tidak berhati perut langsung untuk melaksanakan CSR? Berpada-padalah buat untung. Begitu juga ultra kiasu yang sudah menjadi kaya-raya hasil bantuan kerajaan. Takkan terus menerus mengalirkan wang keluar negara.

Syarikat konsesi lebuh raya sudah semestinya membuat duit saban hari melalui perjanjian tersebut. Ditambah pula dengan papan iklan sepanjang utara-selatan, barat dan timur. Ini tidak termasuk dengan sewa gerai di kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya kepada pengguna lebuh raya.

Respons daripada menteri bertanggungjawab begitu memualkan. Kita ingatkan bila ahli ekonomi dilantik senator menjadi menteri, ditambah dengan pengalaman begitu luas, beliau akan memerah otak, memberikan buah fikiran kepada kerajaan, cara terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat. Ini tidak, jawapannya begitu simplistik.

Katanya, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. Ini bukan jawapan negarawan. Nasihat saya, jangan pandirkan diri bila dah jadi menteri. Sepatutnya bila dilantik jadi menteri, daya intelektual kita makin bertambah.

Dalam Islam, menurut Imam al-Ghazali, menyediakan kemudahan asas, adalah tanggungjawab pemerintah. Kemudahan asas ini tidak sepatutnya diniagakan kerana kesannya akan dirasai oleh rakyat, bukan pak menteri. Pak menteri banyak menikmati keistimewaan lain bila dilantik jadi menteri. Termasuk semua bil utiliti.

Banyak negara maju (termasuk negara Islam lain) menyediakan kemudahan asas dengan kadar caj rendah. Misalnya, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, air, elektrik dan sebagainya. Ini adalah asas yang bersifat daruriyyat. Tanpanya manusia tidak boleh (sukar) untuk hidup.

Logiknya, tol tidak perlu naik, tetapi semakin turun harga. Maklumlah, pengguna semakin bertambah. Jalan raya tidaklah dibaiki hari-hari. Sekali baiki boleh tahan setahun.

Ingatan saya kepada Umno BN, jangan biarkan hati Melayu semakin terluka. Tidak mustahil Melayu akan beralih kepada parti ultra kiasu.

Kempen mereka sedang berjalan. Jika satu hari nanti ultra kiasu cenderung kepada Islam, saya bimbang ketika itu, Umno sudah tidak relevan lagi, kerana mereka sudah ada Pas. Hari ini Melayu masih bersama Umno kerana tawar hati dengan Pas bersama ultra kiasu, penentang Islam.

Ridhuan Tee

No comments:

Post a Comment