Wednesday 4 December 2013

"Poster gambar dilukis bertanduk seolah-olah syaitan-@ustazkazim #pau2013


Selepas pelbagai spekulasi dan tohmahan yang diterima pendakwah, Mohammad Kazim Elias terhadap perlantikan beliau sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini, beliau hari ini tampil memberikan penjelasan.

Menurut Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, beliau tetap dengan pendirian untuk menolak tawaran menjadi MT Umno disebabkan tiga perkara iaitu komitmen luar sebagai penceramah, mahu menjaga urusan pentadbiran Pusat Pendidikan Al-Barakah dan ingin menjaga nama baik Umno daripada terus difitnah.

Biarpun keputusan yang dibuat itu muktamad, Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah itu tetap terbuka untuk memberikan idea dan cadangan yang membina kepada perdana menteri terhadap agenda transformasi agama di dalam Umno.

Mohammad Kazim berkata dalam pertemuan selama sejam dengan Najib di bangunan Parlimen, perdana menteri memaklumkan tawaran untuk melantiknya sebagai anggota MT Umno dibuat selepas mendapatkan pandangan empat Mufti.

"Perdana menteri memberitahu pelantikan saya adalah untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli Umno dan memperkasakan agenda umat Islam dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.

"Saya nampak perdana menteri sangat terbuka dalam hal agama dan meminta saya merangka satu sistem pendidikan terbaik bagi membentuk generasi muda menjadi orang yang lebih baik," kata Mohammad Kazim, yang merupakan antara sembilan orang yang dilantik ke jawatan itu pada 29 Nov lepas.

Beliau bagaimanapun tetap kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT.

"Saya belum lagi beri jawapan mereka dah maki hamun. Macam mana orang Pas yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh kata macam tu? Sepuluh tahun saya berkecil hati dengan mereka kerana membuat tohmahan buruk terhadap saya.

"Masa Kedah diperintah Pas saya digam walaupun bukan ahli Umno. Poster gambar saya dilukis dengan bertanduk seolah-olah syaitan. Kemuncaknya mereka kata saya anak babi menyebabkan saya ambil keputusan meninggalkan Pas," katanya. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment