SEBELUM ini, nama pelakon berbakat besar, Siti Saleha mungkin jarang dikaitkan dengan kisah kontroversi baik dalam kehidupan peribadi mahupun kerja.
Namun, menerusi filem pertamanya, Kerat 14, pemilik nama sebenar, Siti Saleha Mohd Baharum, 23, ditebak dengan pelbagai persoalan apabila lakonannya memaparkan adegan mesra dan berciuman.
Bergandingan bersama pelakon baru, Ali Arami, Saleha menerusi filem berkenaan menggalas watak sebagai Nurzara.
“Memang sekilas pandang, babak itu kelihatan seperti bercium, namun kami bukan cium betul-betul.
"Pada mulanya, saya pun teragak-agak untuk menjayakannya dan pengarah terpaksa mengambil beberapa 'shot' untuk mendapatkan 'scene' itu.
"Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tugas dan saya akui, memang sukar untuk melakukan babak mesra seperti itu," kata pelakon drama hit, Nora Elena ini.
Bakal menemui penonton di pawagam mulai 14 Februari ini, Kerat 14 turut menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Aaron Aziz, Zamarul Hisham, Arash Mohamad dan Fouziah Gous.
Malu lihat lakonan sendiri
Walaupun bakatnya dalam bidang lakonan tidak boleh dipertikaikan, Saleha akui malu untuk melihat babak intim itu.
Lebih-lebih lagi, pada sesi tayangan media, bapanya turut hadir menemaninya untuk memberi sokongan dan semangat.
"Semasa babak itu, saya suruh bapa menutup muka supaya tidak melihat aksi saya. Tapi, dengan nada positif, dia beritahu amat memahami kerjaya saya.
"Malah, dia berpuas hati dengan lakonan saya dan akan sentiasa memberi sokongan padu kepada saya dalam kerjaya ini.
"Namun, dia turut menasihati saya agar tidak melakukan perkara yang berlebihan," kata finalis Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) ini.
Selesa tanpa lelaki
Mengakui masih solo dan enggan berbicara mengenai kisah cinta, Saleha menganggap bukan masanya untuk semua itu.
Malah, menurut Saleha, sejak kecil lagi, dia dididik untuk berdikari tanpa mengharapkan orang lain.
"Saya rasa, tanpa lelaki pun saya boleh meneruskan kehidupan. Saya tidak meletakkan soal cinta di hadapan.
"Ini adalah waktu untuk saya membina kerjaya. Namun, tidak bermakna saya menolak untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup saya.
"Sebelum ini, saya berkawan dengan beberapa lelaki, namun hubungan itu tidak pernah menuju ke alam cinta. hanya kawan biasa sahaja," katanya yang berharap agar tahun 2013 memberi sinar buat dirinya.
sumber;-hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment