Selasa, 11 Februari 2014

Getah sekerap tingkat pendapatan pekebun kecil. @UMonline

NAYAN Yusof (kiri) bersama Nur Asri Nayan mengumpul getah sekerap beku
untuk dijual di Kampung Berona Kiri Dalam, Jeneri, Sik, Kedah, semalam. .




Penurunan harga getah sejak kebelakangan ini tidak melemahkan semangat penoreh, termasuk dalam kalangan warga emas di beberapa kampung di sini yang gigih mengambil upah dan menjual getah sekerap untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Mereka menyifatkan pekerjaan itu sebagai mencabar namun mampu meraih pendapatan agak tinggi apabila getah sekerap dapat dijual pada harga antara RM2.65 hingga RM2.80 sekilogram (kg).

Nayan Yusof, 80, dari Kampung Gading berkata, kerja menoreh di kebun getah perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.
"Banyak risiko apabila warga emas menoreh getah tetapi saya masih bersemangat walaupun sesetengah orang tidak sanggup berbuat demikian lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, beliau perlu keluar rumah selepas Subuh untuk menoreh getah di kebun seluas lima hektar yang dipawah daripada seorang penduduk Kampung Berona Kiri Dalam, Jalan Jeneri di sini.

"Pukul 7 pagi, saya sudah berada di kebun, dalam sehari saya mampu menoreh 300 batang pokok getah," katanya.

Menurutnya, setiap enam hari sekali, dia mampu meraih kira-kira RM600 hasil jualan getah sekerap beku.

Nayan memberitahu, isterinya, Aishah Hashim, 64, dan anak, Nur Asri Nayan, 42, turut membantu mengutip getah sekerap setelah kerja menoreh selesai.

Yub Zamil, 63, dari Kampung Batu 10 Jeniang pula berkata, beliau menoreh getah yang dipawah daripada seorang penduduk di Kampung Sungai Perahu, Jalan Bukit Selambau, Sungai Petani.

"Dalam sebulan, saya dapat lebih RM500 tetapi belum pernah mencecah RM1,000.
"Saya hanya mampu menoreh 350 batang pokok getah sehari bermula pukul 7 pagi hingga 11 pagi," jelasnya.

Seorang lagi penoreh, Ahmad Che Embi, 60, dari Kampung KEDA Jalan Jeneri memberitahu, dia menoreh 500 batang pokok getah milik seorang penduduk tidak jauh dari pekan Bukit Selambau.

"Dalam masa sebulan, saya boleh dapat RM1,000. Wang ini digunakan untuk membeli keperluan rumah," katanya.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi
Klik ke FB Jihad Ekonomi

www.Facebook.com/bnselamatkankedah

www.Facebook.com/bnselamatkankedah
SELAMATKAN NEGERI KEDAH [klik Gambar di atas]

http://www.darulamanfm.com/

Berita Pilihan Orang Kedah