MANGSA serangan polis Mesir terbaring menunggu untuk diselamatkan berhampiran tempat penyokong Mohamed Mursi berkubu sebelum diserbu pihak berkuasa.
Kaherah: Ikhwanul Muslimin semalam berikrar untuk menggulingkan kerajaan sementara yang disokong tentera ketika angka rasmi kematian akibat keganasan pihak berkuasa Mesir meningkat lebih 520 orang.
Jurucakap gerakan Islam itu, Gehad el-Haddad berkata mereka akan terus bangkit menyanggah kerajaan sementara Mesir sehingga "tentera kembali ke berek masing-masing" dan demokrasi kembali ditegakkan.
"Kami tidak akan berundur, kami tidak gentar walaupun berdepan keganasan luar biasa pasukan keselamatan," katanya. Gehad juga berkata, kemarahan rakyat kini "di luar kawalan" akibat pertumpahan darah kelmarin.
Katanya, kejadian itu menyukarkan pertubuhan berkenaan memujuk penyokong mereka menggunakan jalan aman untuk menyelesaikan konflik di Mesir."Emosi orang ramai ketika ini tidak dapat dikawal sesiapa," katanya.
Pada masa sama, dua pemimpin Ikhwanul Muslimin ditembak dalam serbuan polis ke dua kubu utama penyokong Mohamed Mursi.Gehad berkata, walaupun dua pemimpin terbabit tidak terbunuh, tiada sesiapa yang tahu di mana mereka berada.
"Kira-kira enam daripada pemimpin kami kehilangan anak lelaki atau perempuan akibat ditembak polis," katanya dalam satu kenyataan. Pada ketika ini, kata Gehad, perjuangan Ikhwanul Muslimin bukan lagi berkisar mengenai isu Mohamed Mursi sebaliknya sama ada rakyat mahu menerima keganasan tentera atau menolaknya.
Sementara itu, mangsa keganasan pasukan keselamatan Mesir terus dirawat dalam ruang Masjid Rabaa al-Adawiya yang kini menjadi hospital sementara.
Kementerian Kesihatan Mesir mendakwa seramai 525 orang terbunuh dalam kejadian kelmarin dan lebih 3,500 lagi cedera. Bagaimanapun kiraan Ikhwanul Muslimin mendapati jumlah kematian jauh lebih tinggi daripada itu.
Agensi berita kerajaan berkata, pihak berkuasa turut menahan 84 orang sesetengahnya anggota Ikhwanul Muslimin dari bandar Suez dan dirujuk kepada pendakwa tentera atas tuduhan membunuh dan membakar gereja. - Agensi
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment