Saturday 17 August 2013

#22OGOS2013 : Benarkah Akan Berlaku Suatu mimpi 'Ngeri' buat umat Islam. @drhasanali #KalimahAllah #Merdeka56 #HinaIslam


Pada 22 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan Persekutuan akan menimbang dan membuat keputusan terhadap permohonan Paderi Besar Kristian Katholik Tan Sri Murphy Pakiam yang memohon supaya Mahmakah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri berikutan dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini atas pertimbangan kebebasan beragama mengizinkan Kalimah Allah digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam khususnya di kalangan penganut Kristian.

Pakiam memfailkan permohonan tersebut sambil membuat ulasan dan kritikan terhadap Kerajaan Malaysia melalui Menteri Dalam Negeri yang bertindak mengemukakan rayuan. Beliau telah menggunakan perkataan "tidak rasional" dan "tidak sensible" di pihak kerajaan yang membuat rayuan padahal kabinet telah memutuskan mengikut fahaman Pakiam bahawa Jemaah Menteri juga akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi melalui kenyataan 10 perkara yang telah dikeluarkan.

Ulasan yang dibuat oleh Pakiam itu sesungguhnya bersifat subjudice, biadap dan sama sekali mengenepikan sensitiviti umat Islam di negara ini khasnya.

Manakala permohonan Pakiam untuk mengenepikan rayuan pihak Menteri Dalam Negeri juga adalah satu tindakan yang keterlaluan dan berniat jahat yang sengaja ingin menguji tahap kesabaran umat Islam di negara ini.

Umat Islam yang menjadi penduduk majoriti negara ini telah sepakat tidak bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan penganut agama lain menggunakan Kalimah Allah atas alasan-alasan dan rasional yang telahpun diberikan melalui berbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berotoriti di negara ini.

JATI menganggap bahawa tarikh 22Ogos 2013 adalah merupakan satu tarikh penting yang akan mencatit sejarah samada Mahkamah Rayuan membenar atau tidak membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri itu diketepikan melalui permohonan Pakiam.

Untuk lebih menjelaskan lagi, seandainya permohonan Pakiam diterima oleh Mahkamah Rayuan ini bermakna rayuan yang dipohon oleh Menteri Dalam Negeri akan tamat di situ. Ini bermakna prosiding rayuan penuh yang dijangka akan diadakan pada 10 September 2013 tidak akan dijalankan. 

Ini juga bermakna bantahan umat Islam terhadap penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam khususnya penganut Kristian tidak lagi menjadi isu dan mereka akan bebas menggunakan Kalimah Allah sewenang-wenangnya.

Kesan jangka pendek dan jangka panjang telah dihuraikan panjang lebar oleh pihak berotoriti yang telah mengemukakan pandangan dan pendapat mereka.

Seperti yang diketahui Gabungan NGO-NGO Islam melalui PEMBELA akan menganjurkan satu wacana khas agenda Kristian pada hari Sabtu 17 Ogos bertempat di Pusat Islam KL untuk memberi pencerahan mengenai tarikh 22hb Ogos ini kepada masyarakat Islam.

Dengan usaha mencerahkan isu sedemikian diharapkan masyarakat Islam mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak mengizinkan bukan Islam menggunakan Kalimah Allah di samping memberikan penjelasan isu Kalimah Allah ini dari sudut perundangannya.

JATI menyokong penuh dan menggesa ahli-ahlinya supaya menghadiri seminar tersebut.

Selain daripada itu usaha juga telah dibuat untuk mengadakan perhimpunan pada pagi 22Ogos 2013 di Kompleks Mahkamah (POJ), Putrajaya untuk menyuarakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada sebarang usaha untuk mempertahankan Kalimah Alah sebagai hak ekslusif untuk penganut agama Islam dalam negara ini.

JATI mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah bersetuju untuk menyediakan teks khutbah khas menyentuh persoalan kalimah Allah yang akan dibaca oleh para khatib pada hari Jumaat 16 Ogos dan akan diikuti dengan solat hajat khusus sebaik-baik sahaja selesai solat fardu Jumaat untuk memohon kepada Allah SWT agar keputusan Mahkamah Rayuan nanti akan berpihak kepada umat Islam.
Pada masa sama JATI ingin menggesa pihak-pihak yang berwajib dan umat Islam di seluruh negara dapat mengambil tindakan yang sama seperti yang dilakukan oleh MAIS dan JAIS. Penglibatan penuh masyarakat Islam dalam isu yang kritikal seperti ini sudah tentu dapat membantu pihak-pihak yang sedang memperjuangkan kesucian Kalimah Allah di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Marilah kita besama-sama demi menjag amaruah agama dan kesucian Kalimah Allah ini menggembeling ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat, teman sekerja untuk bersama-sama dalamper juangan suci ini demi memartabatkan agama Allah SWT.

Mudah-mudahan berkat doa dan usaha umat Islam seluruhnya dan dengan izin Allah SWT jua, keputusan Mahkamah Rayuan nanti akan berpihak kepada umat Islam.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn TunDr Ismail KL


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment