Tuesday 22 January 2013

Kegagalan Projek Balak Di PNG: MB Kedah Diselar Cuba Salahkan Pihak lain. #TukarKedah


ALOR SETAR: Seorang ahli perniagaan menyelar Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana cuba menyalahkan pihaknya akibat kegagalan projek pembalakan di Papua New Guinea (PNG) membabitkan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) yang menandatangani perjanjian dengan syarikatnya, MAS Incorporated Ltd.

Datuk Abdul Manaf Abdul Hamid, ahli perniagaan dari Kedah, berkata Azizan seharusnya menerangkan perkara sebenar dan bukan menjadikan dirinya sebagai 'kambing hitam' apabila projek yang dirancang secara usahasama itu gagal.

"Saya yakin Menteri Besar diberi maklumat salah oleh pegawai-pegawainya sehingga dia hendak saman agar saya pulangkan balik bayaran muhibah sebanyak RM1.2 juta yang menjadi hak saya.

"Dalam perjanjian dijelaskan bahawa bayaran ini tidak boleh dituntut balik sama ada projek berjaya atau gagal. Adakah pegawai-pegawai dia (MB) tidak tahu hal ini," kata Abdul Manaf pada sidang media di sini, Isnin.

Ahli perniagaan itu tampil untuk membersihkan namanya selepas dituduh oleh Setiausaha Politik Azizan, Muhammad Sanusi Mohd Nor dan Ketua Penerangan PAS Kedah Zulkifli Yahya sebagai juara putar alam dan penyeleweng berkaitan kegagalan usahasama projek pembalakan PMBKed dan MAS Incorporated Ltd di PNG.

PMBKed dan MAS Incorporated menandatangani perjanjian usahasama projek pembalakan pada 2008 dengan agensi itu membeli 70 peratus kepentingan dalam MAS Incorporated Ltd pada harga RM31.21 juta untuk memajukan dua kawasan seluas 114,429 hektar di PNG manakala Abdul Manaf memegang baki ekuiti itu.

Kegagalan projek itu didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menyatakan sebuah agensi di bawah Menteri Besar Diperbadankan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS mengalami kerugian berjumlah RM13.49 juta apabila pegawai-pegawai agensi itu menamatkan pelaburan pada Mac 2010.

Laporan itu antara lain menyatakan sebab utama berlaku kerugian ialah ketidakupayaan kewangan PMBKed dan pengurusannya yang lemah.

Abdul Manaf, bekas duta sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan, kecewa kerana menteri besar pernah menyatakan beliau sendiri akan menggerakkan usaha agar projek itu berjaya selepas perjanjian ditandatangani.

"Apabila projek ini gagal dia mula keluarkan kenyataan bercanggah untuk menutup kelemahan kerajaan negeri....cakaplah perkara benar. Tak usahlah nak laksana projek ini jika tidak mampu dan tiada wang.

"Cabaran saya agar pihak berkuasa kerajaan negeri Kedah membuktikan dakwaan bahawa terdapat penyelewengan dalam usahasama pembalakan dan perladangan yang gagal di PNG belum dijawab sehingga hari ini," kata Abdul Manaf.


Katanya pajakan 99 tahun projek itu membabitkan kawasan seluas 41,150 hektar 100 peratus masih lagi di bawah namanya selepas memutuskan hubungan dengan PMBKed pada 2011 dan sedang berunding dengan syarikat lain untuk melaksanakannya. - BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.









No comments:

Post a Comment