Sunday, 27 January 2013

Mat Rempit ! cabar Polis terima Padah.


Padah cabar polis

BALING - Tindakan sekumpulan mat rempit mencabar polis membawa padah apabila mereka ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di persimpangan Hotel Bayu, di sini, semalam.

Mat rempit yang terdiri daripada remaja berusia belasan tahun itu sengaja menaikkan kemarahan polis dengan menjerit dan menunjukkan isyarat tangan memanggil pihak berkuasa itu untuk menahan mereka.

Akibat tindakan itu, anggota polis yang juga menunggang motosikal bertindak mengejar remaja terbabit dengan memintas dan menahan salah seorang dari mereka.

Hasil pemeriksaan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh.

Remaja yang bekerja sebagai penoreh getah itu mengakui sengaja menimbulkan kemarahan polis kerana ingin mencari kepuasan.

Menurutnya, dia sering mengikuti rakannya merempit selain menunjukkan aksi berbahaya.

Lebih mengejutkan, dia turut mengakui terdapat rakannya yang mati akibat kemalangan disebabkan ghairah menunjukkan aksi berbahaya.

Remaja terbabit antara salah seorang dari beberapa remaja lain yang ditahan akibat memandu dalam keadaan berbahaya dalam operasi mencegah lumba haram di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi superintendan Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 16 saman dikeluarkan melibatkan 25 kesalahan dan tiga motosikal disita.

Menurutnya, tiada tangkapan yang dibuat tetapi setiap yang ditahan diambil keterangan sebagai rekod.

“Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan daerah ini bersih dari aktiviti lumba haram,” katanya.

Operasi yang berakhir pada jam 3.15 pagi itu diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Inspektor Fauzeli  Mohd Ali.

SINAR.

No comments:

Post a Comment